29 Februari 2012

Paksa seks atas motosikal


NILAI – Akibat terlalu percaya kepada teman lelaki, seorang pelajar Tingkatan Satu dirogol secara paksa oleh teman lelakinya yang berusia 19 tahun di sebuah lorong gelap, delat Gadong Jaya, Seremban.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusof Awang berkata, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai di ibu negara itu dikatakan memaksa kekasihnya berusia 13 tahun itu melakukan seks atas motosikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian pertama berlaku Ogos tahun lalu dan selepas itu, pasangan tersebut kerap berjumpa untuk melakukan seks sehinggalah pada 22 Februari lalu.

“Laporan asal dibuat keluarga wanita itu yang melaporkan anaknya tidak pulang ke rumah selama seminggu dipercayai mengikut teman lelakinya di Kuala Lumpur.

“Sejurus laporan polis dibuat, wanita tersebut pulang ke rumah. Setelah didesak keluarganya, wanita itu memberitahu bahawa dia dirogol. Sebaik sahaja mengetahui hal itu, ibunya membuat laporan di Balai Polis Nilai,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Yusoff berkata, polis berjaya menahan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol

kredit : Sinarharian.com.my

Info Gallery - Paksa atau rela?Adakah hukuman hanya pada pihak lelaki sahaja?

Dua penuntut kolej swasta ditahan bantu siasatan kes lelaki dibakar


KUALA LUMPUR - Polis menahan dua penuntut wanita sebuah kolej swasta di Shah Alam bagi membantu siasatan kes remaja lelaki Muhammad Syahirudin Mohd Shauki yang melecur hampir 80 peratus selepas dibakar di ladang kelapa sawit di Sungai Tengi Gedangsa, Hulu Selangor, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Yahya Afendi memberitahu Bernama hari ini dua wanita berumur 19 dan 20 berkenaan ditahan kira-kira pukul 3 petang di rumah sewa mereka di Shah Alam semalam.

"Kita tahan kedua-dua mereka bagi membantu siasatan kes ini sama ada mereka ada kaitan dengan insiden mangsa dibakar," katanya.

Norel Azmi berkata kedua-dua wanita itu ditahan reman mulai hari ini selama seminggu.

Dua hari lepas, Muhammad Syahirudin ditemui dengan kesan kelecuran 80 peratus di badannya selepas disimbah petrol dan dibakar oleh beberapa individu yang dikenali mangsa.

Mangsa kini dilaporkan koma di Hospital Sungai Buluh.

kredit : Sinarharian.com.my

Info Gallery - Apakah cemburu atau khianat yang menjadi punca kejadian ini?

Dua beranak Orang Asli disondol babi hutan


KUALA TERENGGANU - Rutin seorang wanita Orang Asli bersama dua anaknya mengutip kayu api yang terletak berhampiran Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu bertukar mimpi ngeri hari ini apabila mereka diserang seekor babi hutan, menyebabkan dua daripada mereka cedera.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, wanita yang hanya dikenali sebagai Dajang, 62, dari Kampung Sungai Berua, luka di kaki dan tangan manakala anak perempuannya Sallek Bakar, 30-an cedera parah hampir di seluruh badan akibat disondol haiwan seberat 70 kilogram itu.

Kedua-dua beranak itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. Seorang lagi anak Dajang, berjaya menyelamatkan diri.

Dajang ketika ditemui berkata dia dan dua anaknya sentiasa ke hutan yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah mereka untuk mencari bahan bakar itu bagi kegunaan sendiri.

"Ketika sedang leka mengutip ranting kering, tiba-tiba kelibat seekor babi hutan menghampiri bersama bunyi dengusan. Saya menoleh ke belakang dan alangkah terkejutnya mendapati ada seekor babi besar setinggi hampir paras pinggang tidak jauh dari kami.

"Belum sempat kami selamatkan diri, babi hutan itu terus menyerang menggigit bahagian kaki dan tangan saya. Pada masa itu juga, seorang anak perempuan saya mengambil sebatang kayu dan cuba memukul binatang itu," katanya ketika ditemui Bernama di HSNZ di sini hari ini.

Menurutnya tindakan anaknya itu hanya mengundang rasa marah haiwan berkenaan menyebabkan dia diserang dengan teruk.

"Selepas bergelut hampir lima minit keadaan Sallek semakin lemah dan saya menjerit meminta tolong apabila melihat Sallek berlumuran darah," katanya.

Beliau berkata jeritan itu hanya sia-sia kerana tidak didengari penduduk kampung dan mereka keluar meminta pertolongan selepas babi hutan itu beredar.

kredit : Sinarharian.com.my

Info Gallery - Tidak pernah melihat babi secara bersemuka

Lelaki mengamuk: Kanak-kanak tiga tahun maut ditikam dengan gunting


BARAM ,Feb. - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Evelyn Irene Laman, maut akibat ditikam dengan gunting di dada oleh bapa saudara angkatnya yang mengamuk pagi ini.

Turut menjadi mangsa dalam kejadian pukul 6 pagi di kuarters Ladang Sejap IOI Pelita, Long Lapok itu ialah remaja lelaki, Stephanus Maxey, 14, yang ditikam di belakang leher dan seorang buruh warga Indonesia, Ajis Salleng yang cedera di kepala dan badan.

Ketika kejadian, Evelyn Irene berada di ruang tamu rumah bersama neneknya manakala ibu bapanya sedang menuai padi di sawah berdekatan rumah mereka.

Menurut sumber, lelaki berkenaan mengamuk dengan merosakkan beberapa barang di dalam rumah sebelum mencapai gunting dan menikam dada kanak-kanak itu.

Katanya, nenek mangsa yang berusia lingkungan 50-an sempat melarikan diri untuk meminta bantuan jiran.

"Stephanus dan Ajis cuba menenangkan lelaki itu tetapi mereka turut diserang manakala Evelyn Irene pula meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Miri," katanya.

Berdasarkan maklumat penduduk kampung, lelaki yang mengamuk itu merupakan adik angkat kepada ibu mangsa dan telah menetap bersama keluarga itu sejak kecil. Dia dipercayai mengalami masalah mental.

Sementara itu, bapa mangsa, Laman Banau, 31, ketika ditemui pemberita di Hospital Miri berkata, dia tidak menyangka adik iparnya bertindak sedemikian rupa walaupun sudah kerap mengamuk.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian malang yang menimpa Evelyn Irene selepas dimaklumkan pengawal keselamatan ladang berkenaan sewaktu menuai padi.

Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Supritendan Abu Bakar Mokthar yang mengesahkan kejadian itu berkata, suspek ditahan ketika bersembunyi tidak jauh daripada kuarters berkenaan.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

kredit : Utusan.com.my

Info Gallery - Ambil langkah awal dengan mendapatkan rawatan yang sewajarnya bagi mengelakkan orang yang tidak bersalah menjadi mangsa

Bapa tunggu anak di sekolah parah ditembak lelaki


PETALING JAYA: Seorang bapa, yang sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah, cedera di rusuk kirinya akibat ditembak beberapa lelaki di luar premis Sekolah Rendah Kebangsaan La Salle, Jalan Templer di Taman Gasing di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata dalam kejadian pada jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia 36 tahun yang menunggu anaknya dalam kereta Proton Wira Aeroback, dihampiri beberapa lelaki bermotosikal yang kemudian melepaskan enam das tembakan ke arah lelaki itu.

"Dua daripada tembakan itu mengenai mangsa dan selebihnya mengenai kenderaannya.
Mangsa yang dalam keadaan cedera kemudian melarikan diri dengan keretanya sejauh enam kilometer sebelum melanggar tiang lampu dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero," katanya kepada pemberita di tempat kejadian

kredit : Bharian.com.my

Info Gallery - Jenayah semakin menjadi-jadi,hampir setiap hari pembunuhan dilaporkan

Acu pistol: Polis dipenjara sepanjang hayat


PUTRAJAYA ,Feb. - Gara-gara mengacukan sepucuk pistol ketika merompak dua buah kedai telekomunikasi, seorang anggota polis terpaksa meringkuk dalam penjara sepanjang hayat serta dikenakan 12 kali sebatan selepas rayuan akhirnya ditolak oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Ketika kejadian, Aeleh Wahab, 38, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di kawasan Dengkil dekat sini. Salah satu kejadian berlaku ketika dia sedang bercuti.

Anggota pangkat rendah itu didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana satu-satunya hukuman yang diperuntukkan ialah penjara seumur hidup.

Bagaimanapun, menurut tafsiran Seksyen 2 akta tersebut, penjara seumur hidup membawa maksud pemenjaraan sepanjang hayat iaitu selama tempoh hayatnya dikenakan hukuman (sehingga mati).

Ia berbeza dengan tafsiran penjara seumur hidup bagi kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang membawa maksud penjara maksimum 20 tahun.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Low Hop Bing yang bersidang bersama Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali menolak rayuannya secara sebulat suara selepas berpuas hati bahawa rayuan itu tiada merit.

Mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Klang yang menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan enam kali bagi setiap tuduhan yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.

Tuduhan pertama, Aeleh disabitkan mempamerkan pistol jenis revolver .38 Special Smith & Wesson ke arah pembantu kedai, Noridayu Abdullah ketika merompak premis berkenaan yang menyebabkan ketakutan terhadapnya.

Dia melakukan perbuatan itu pukul 10.30 pagi, 14 April 2006 di New Telecommunications Ent., Jalan Ayer Itam, Dengkil.

Menurut keterangan semasa perbicaraan, sewaktu kejadian, anggota tersebut sedang bercuti.

Tuduhan kedua, dia disabitkan berbuat demikian terhadap pemilik kedai, Tiew Bon Piau ketika merompak premis Astini Teleshop, No. 27 Jalan Kenanga 2, Taman Dengkil Jaya, Dengkil pukul 3.30 petang, dua hari kemudian.

Mengikut keterangan anggota bahagian stor senjata, Aeleh mengambil pistol pertama untuk tempoh satu setengah jam dan memulangkannya semula selepas digunakan. Pistol kedua pula dikembalikan selepas 40 minit digunakan.

Sebelum itu, peguam Mohd. Aminuddin Mohd. Ramli yang mewakilinya menghujahkan, intipati pertuduhan tidak dipenuhi oleh pihak pendakwaan kerana tiada ujian balistik dilakukan terhadap pistol tersebut bagi memastikan ia masih berfungsi atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Munahyza Mustafa berhujah bahawa keterangan saksi-saksi menyatakan, ujian balistik tidak perlu kerana pistol yang disimpan di stor senjata memang berfungsi, manakala anggota polis tidak memerlukan lesen untuk membawanya

kredit : Utusan.com.my

Info Gallery - Hukum semua polis yang terlibat dalam jenayah termasuk yang menerima rasuah

Rumah jadi zoo mini kena serbu

KAKITANGAN Perhilitan Pulau Pinang menunjukkan beberapa ekor haiwan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Bidor, Tasek Gelugor Sabtu lalu.
KAKITANGAN Perhilitan Pulau Pinang menunjukkan beberapa ekor haiwan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Bidor, Tasek Gelugor Sabtu lalu.

GEORGE TOWN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyerbu sebuah rumah di Kampung Tok Bidor, Tasek Gelugor dekat sini kerana pemiliknya didapati mengusahakan zoo mini secara haram termasuk disyaki menjual haiwan tanpa permit.

Serbuan yang diketuai Pegawai Pelesenan Perhilitan, Rofley Ambuka kira-kira pukul 1.30 petang Sabtu lalu itu berjaya merampas seekor kucing batu, dua ekor ayam hutan, seekor burung murai batu dan seekor burung merbah luris leher yang dipelihara dalam sangkar berasingan.

Difahamkan, kegiatan lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu bermula sejak tiga tahun lalu dan kesemua haiwan terbabit dijual kepada pelanggan tempatan.

Pengarah Perhilitan, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, serbuan dilakukan atas maklumat orang awam dan risikan pihaknya sejak dua bulan lalu.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua haiwan liar itu dibela tanpa kebenaran pihak Perhilitan.

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Lebih elok pelihara ayam daging

28 Februari 2012

Wanita kes Badrol: 'Fitnah, saya tak khalwat'


ROMPIN - Media digemparkan dengan berita anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Badrolamin Bahron ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di Kuantan, awal pagi Sabtu lalu.

Dalam Sinar Harian semalam, Badrolamin menafikan laporan tersebut dan menegaskan, beliau hanya mahu membantu seorang wanita yang berhadapan dengan masalah keluarga.

Sinar Harian berjaya menjejak wanita didakwa berkhalwat dengan Badrolamin itu. Apa sebenarnya kisah di sebalik kejadian?

Walau enggan namanya disiarkan, namun wanita itu tidak keberatan berkongsi cerita dan menerangkan kedudukan sebenar kepada pembaca Sinar Harian khasnya. Ikuti pengakuan eksklusif daripada beliau.

“Fitnah! Saya tidak berkhalwat. Saya tidak lakukan perbuatan itu!

“Saya tidak berada dalam satu bilik dengan ustaz (Badrolamin). Orang fitnah saya berniat jahat. Tidak bertanggungjawab!

“Saya berada di luar bilik hotel. Bukan bersama ustaz dalam sebuah bilik seperti dakwaan.

“Namun kerana tindakan khianat itu, ustaz kena kurung dan dibelasah dalam biliknya.

“Saya pergi menemui ustaz Badrolamin atas tujuan mahu melarikan diri daripada suami, bersama anak saya yang berusia dua tahun. Saya bimbang keselamatan kami terancam.

“Saya sudah puas berusaha dan tidak mampu lagi menanggung segala bebanan ini.

“Saya memang kenal rapat ustaz dan isterinya sejak mengikuti rombongan umrah pada 1 Mei tahun lalu dan kami sering berhubung antara satu sama lain.

“Ustaz pun ada datang ke sini (Rompin) dan saya juga mengenali rapat isteri beliau. Malah isterinya juga menasihatkan saya supaya bersabar menghadapi kes fitnah ini.

“Saya juga kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang menuding jari tanpa beri kami peluang untuk bela diri, sedangkan kes ini belum diputuskan di mahkamah.

“Tambah kesal kerana ada pihak menabur fitnah dengan meletakkan gambar palsu dan wajah yang tersebar di Internet bukan saya,” katanya.

Kakitangan di Kolej Komuniti Rompin berusia 28 tahun itu ke mahkamah semalam, bagi sebutan kesnya di hadapan Hakim Syarie, Abu Kasim Pilus, kira-kira jam 11.15 pagi, sebelum keluar semula kira-kira 10 minit selepas memberi keterangan.

Beliau hadir seorang diri di Mahkamah Rendah Syariah Rompin pada jam 9 pagi semalam. Beliau ke sana bagi proses tuntutan penceraian terhadap suaminya.

“Saya nekad mengemukakan tuntutan cerai memandangkan pelbagai usaha dilakukan untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga gagal.

“Itulah jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan keselamatan dan masa depan saya serta anak terbela,” katanya.

Ketika ditanya adakah punca dia menuntut cerai disebabkan sikap suaminya, wanita itu enggan mengulas dan mahu isu berkenaan diselesaikan di mahkamah nanti.

kredit : Sinarharian.com.my

Info Gallery - Semoga Allah tunjukkan kebenaran

Rahsia peminat misteri terbongkar

LELAKI yang menjadi peminat misteri dengan mengirim barang-barang aneh kepada seorang gadis ditahan di Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur semalam.
LELAKI yang menjadi peminat misteri dengan mengirim barang-barang aneh kepada seorang gadis ditahan di Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Teka-teki siapa peminat misteri yang menghantar kiriman aneh berupa seluar dalam lelaki dan tiga ekor ayam kepada seorang gadis di Wangsa Maju di sini baru-baru ini terjawab apabila polis menahan seorang lelaki semalam.

Suspek berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Sri Rampai, Wangsa Maju di sini pada pukul 1.30 petang.

Lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak rupa-rupanya jiran mangsa yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat Teknologi Maklumat di ibu negara. Malah mangsa turut mengenali peminat misteri itu.

Suspek yang berasal dari Perak itu dipercayai bertindak demikian kerana menyangkakan mangsa yang berusia 20-an itu ialah pelakon terkenal, Diana Danielle Beeson atau lebih dikenali sebagai Diana Danielle, 20.

Suspek mendakwa dia tidak pernah bersemuka dengan pelakon kacukan terbabit tetapi kerap berhubung dengan pelakon itu di laman sosial Twitter sejak beberapa tahun lalu iaitu sebelum wanita itu menceburi bidang seni.

Suspek juga mendakwa sepanjang berkomunikasi di Twitter, Diana Danielle sering membalas komennya menyebabkan dia teruja untuk mengenali wanita itu dengan lebih rapat.

Jelas suspek itu lagi, dia amat meminati pelakon itu kerana bukan sahaja memiliki wajah yang cantik malah menyifatkan Diana Danielle sebagai seorang wanita bijak.

Suspek itu memberitahu, dia mengirim bungkusan berisi gambar, nota cinta dan tiga ekor ayam yang dipelihara sendiri kepada mangsa sebagai tanda persahabatan kepada wanita itu atau hadiah daripada peminat tanpa muslihat lain.

Selain Diana Danielle, suspek turut menyertakan nota cinta kepada penyampai berita TV3, Pang Chinn Fei yang turut dikirimkan di rumah mangsa. Chinn Fei juga merupakan seorang wanita diminati suspek.

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Kalaupun minat,tidak perlulah hantar seluar dalam

Guru besar cedera diserang guru lelaki


GEORGE TOWN — Seorang guru besar sekolah rendah di Air Itam cedera selepas diserang seorang guru lelaki sekolah yang sama dalam satu pergaduhan di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Ahmad Bakhtiar Kassim berkata, guru besar lelaki berusia 48 tahun itu diserang ketika membuat rondaan dari kelas ke kelas pada 8.30 pagi.

"Kejadian itu berlaku semasa guru besar berkenaan sedang membuat rondaan dan beliau mendapati kelas yang diajar oleh guru lelaki terbabit berada dalam keadaan bising.

"Guru besar itu bertindak merakam keadaan kelas yang bising dengan menggunakan telefon bimbit miliknya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu tidak disenangi guru lelaki berkenaan, yang bertindak mengekori guru besar tersebut.

"Semasa tiba di tangga antara tingkat satu dan dua sekolah berkenaan, iaitu tidak jauh dari kelas guru lelaki terbabit, beliau bertindak menyerang guru besarnya,” katanya.

Ahmad Bakhtiar berkata, berlaku pergelutan antara mereka dan ia berjaya dileraikan petugas di sekolah terbabit.

"Akibat pergelutan itu, kedua-duanya mengalami kecederaan, iaitu guru besar berkenaan cedera di bahagian tangan kanan dan kiri, belakang kepala serta kepala.

"Manakala guru lelaki terbabit pula cedera di atas kening mata dan bahagian tangan. Mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, laporan berhubung kejadian itu telah dibuat dan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Inikah sikap yang dipertontonkan oleh guru untuk diteladani oleh anak-anak kita?

Polis buru rakan konstabel polis yang dibunuh


KUALA LUMPUR —Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kematian seorang anggota polis berpangkat Konstabel, yang dipercayai dibunuh rakannya di Batu Caves, Gombak pada 4 Feb. lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata turut diburu seorang lelaki dikenali sebagai Karunagaran a/l Asaithamby atau Karu, 27, beralamat di No.6G, Jalan 10A, Selayang Baru, Batu Caves.

“Polis percaya kejadian itu bermotifkan dendam dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Siasatan Jenayah D9, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460685 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Mendiang V.Divendran, 25, yang bertugas di Bahagian Risikan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan, ditemui mati dengan kecederaan di kepala akibat dipukul objek tumpul di bawah jambatan MRR2 di bulatan Batu Caves dekat sini.

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Amalkan sikap berhati-hati dan sentiasa berwaspada walaupun dengan rakan

Ibu bayi alas kaki 'buat cerita' ditahan


KUALA TERENGGANU - Bimbang rahsianya melahirkan anak tidak sah taraf terbongkar, seorang pembantu kedai sanggup mengadakan cerita termasuk kepada media, kononnya bayi itu ditinggalkan di rumahnya oleh seorang warga emas.

Namun tindakan wanita berusia 22 tahun itu berjaya dibongkar polis yang menyiasat kes 'penemuan' bayi lelaki di atas alas kaki di sebuah rumah di Kampung Beladau di sini, dan membawa kepada penahanannya pukul 3.30 petang semalam.

"Terdapat laporan yang bercanggah dibuat dan hasilnya kita mengesyaki remaja terbabit tidak bercakap benar.

"Hasil siasatan lanjut ke atas tempat tinggal remaja itu, polis telah menjumpai dan mengambil bukti beberapa barangan yang dipercayai ada kaitan dengan bayi berkenaan," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan, di sini hari ini.

Beliau berkata wanita itu yang berasal dari Manir dan tinggal bersama ibu bapa angkat di kampung tersebut juga mengakui melahirkan bayi berkenaan dan berbuat demikian kerana tidak mampu menjaganya.

"Sebelum ini, ibu bapa angkat remaja berkenaan telah mengesyaki dan bertanyakan sesuatu namun dinafikan remaja itu," katanya.

Manoharan berkata wanita berkenaan yang kini direman empat hari, telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk pemeriksaan lanjut serta menjalani ujian asid deoksiribonukleik atau DNA.

Katanya polis juga percaya akan dapat mengesan bapa bayi berkenaan tidak lama lagi. Kes disiasat mengikut Seksyen 371 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan Seksyen 182 kanun yang sama kerana membuat laporan palsu.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas yang menutup hampir keseluruhan mukanya dengan sehelai kain, bertindak meninggalkan seorang bayi di rumah terbabit sebelum ditemui oleh penghuni rumah itu, seorang wanita berusia 22 tahun pada Jumaat lepas di Kampung Beladau

kredit : Sinarharian.com.my

Info Gallery - Sudahla melahirkan anak begitu,memalukan,sanggup pula menipu,akhirnya hanya menyusahkan diri sendiri

Aksi terlampau tepi surau


KOTA DAMANSARA - Tindakan sepasang pelajar asing membuat hubungan seks di dalam kereta di tepi sebuah surau di Seksyen 6, kelmarin mengundang kemarahan penduduk setempat.

Perbuatan tidak senonoh pasangan warga Afrika disedari oleh seorang ahli jawatankuasa surau yang kebetulan melalui blok rumah yang menempatkan asrama pelajar sebuah kolej kira-kira jam 10 pagi.

Kelakuan tersebut menyebabkan penduduk berang dan bertindak memancitkan tayar kereta tersebut.

Ahli Jawatankuasa Surau An-Nur Flat Gugusan Seroja, Harun Ali berkata, dia sangsi selepas melihat kereta Myvi berwarna putih di letakkan di parkir blok berkenaan bergoyang.

“Bila saya pergi lihat di tingkap kereta terbabit, saya lihat pasangan warga Afrika sedang melakukan hubungan seks di belakang kereta,” katanya.

kredit : Sinarharian.com.my

Info Gallery - Maksiat dan budaya kuning semakin menular dengan kemasukan ramai warga asing ke negara kita,diminta pihak yang berwajib membuat pemantauan yang sewajarnya

Dua penjawat awam dicekup separuh bogel


DUNGUN – Dua penjawat awam yang juga rakan sekerja di sebuah agensi kerajaan di Dungun, didenda RM2,800 atau dua bulan penjara selepas masing-masing didapati bersalah melakukan perbuatan tidak bermoral di sebuah rumah, dekat sini, awal pagi, Disember lalu.

Khairul Mubin Abdullah, 26, dan pasangannya, Laily Norashikin Che Sukeri, 22, menerima pengajaran paling berharga apabila kedua-duanya dijatuhkan hukuman setimpal oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Dungun, apabila masing-masing membuat pengakuan bersalah atas tuduhan persediaan melakukan persetubuhan.

Mengikut fakta kes yang dibaca pendakwaraya, Khairul, seorang Pembantu Kebajikan Masyarakat bersama pasangannya, Laily, kakitangan kerajaan berstatus janda yang beralamat di Ketengah Jaya, Dungun ditahan sepasukan Pegawai penguat kuasa syariah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Sekolah Intan Zaharah Balai Besar, Dungun kira-kira jam 2.10 pagi, 7 Disember 2011.

Selepas pintu rumah dibuka, tertuduh lelaki didapati hanya memakai tuala mandi, dan pemeriksaan lanjut dalam sebuah bilik menemui seorang perempuan tidur dalam keadaan berselimut dengan toto.

Pemeriksaan lanjut juga mendapati perempuan tersebut hanya memakai seluar dalam.

Turut dirampas dalam serbuan itu sebagai barang kes, coli milik tertuduh perempuan.

Soal siasat mendapati keduanya tidak mempunyai hubungan muhrim dan mereka dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk siasatan lanjut sebelum didakwa melakukan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Ketika mengemukakan rayuan kepada mahkamah, kedua-dua tertuduh merayu agar diringankan hukuman dengan alasan kedua-duanya kini sudah mengikat tali pertunangan dan bakal melangsungkan perkahwinan Mac ini.

Bagaimanapun, Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah tetap berpendirian bahawa kesalahan dilakukan mereka amat serius, dan kedua-duanya berhak menerima hukuman setimpal atas perbuatan dilakukan.

Khairul yang berasal dari Sarawak bersama pasangannya menjelaskan denda yang dikenakan.

kredit : Sinarharian.com.my

Info Gallery - Memalukan diri sendiri dan keluarga,jika nak carilah yang halal,bernikah lah untuk mengawal nafsu

27 Februari 2012

Warga Emas Berahi Didakwa Rogol Wanita Balik dari Sawah

Info Gallery

[HM] KENINGAU: Seorang wanita yang baru pulang mengerjakan sawah bukan saja diacu parang di leher sebelum dirogol, malah turut diugut akan ditembak mati menggunakan senjata api bakakuk dalam kejadian sebuah kampung di Sook, di sini, 10 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 39 tahun yang trauma dengan kejadian itu, akhirnya membuat laporan polis, kelmarin, selepas didesak suaminya.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dipercayai berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya sebelum terserempak dengan suspek dikenalinya berusia 54 tahun yang menetap di kampung berhampiran.

Secara tiba-tiba suspek terus memeluk mangsa daripada belakang termasuk mengacukan parang ke leher supaya tidak melawan atau melarikan diri.

Mangsa yang ketakutan hanya mendiamkan diri sebelum diseret ke hutan berhampiran sebelum dirogol.

Sebaik pulang ke rumah, mangsa menceritakan kejadian itu kepada suami sebelum mereka membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Keningau, lima hari selepas kejadian itu berlaku.

“Mangsa membuat laporan polis selepas didesak suaminya dan dia mendakwa diugut dan dirogol lelaki dikenali.

“Sebaik menerima maklumat, sepasukan polis bergegas ke rumah lelaki terbabit dan suspek berjaya diberkas kira-kira jam 6.35 petang, hari sama,” katanya.

Katanya, polis turut merampas dua senapang angin, dua bakakuk, 11 peluru dan lima peluru hidup untuk siasatan lanjut.

“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.



Info Gallery - Tua nak mati pun masih bernafsu buas

Gadis Dirogol di dalam Kereta yang Melintasi Sekatan Polis

gambar hiasan
gambar hiasan

Times of India melaporkan dua orang lelaki didakwa menculik dan merogol seorang remaja berusia 16 tahun di dalam sebuah kereta yang bergerak di Delhi. Yang mengejutkan kereta itu pada suatu ketika melintasi sekatan polis di sebatang jalan rata.

Mereka tidak berhenti dan terus merogol mangsa bergilir-gilir. Kedua-dua suspek memandu di sekitar kejiranan di dalam sebuah R Wagon, kata polis.

Remaja itu akhirnya ditinggalkan di tepi sebatang jalan raya selepas empat jam diperlakukan seperti hamba seks.

Semasa memberikan kenyataan, remaja itu memberitahu polis bahawa salah seorang tertuduh adalah rakan abang iparnya yang pernah berkunjung ke rumahnya sebelum ini.

Tertuduh yang dikenali Amit dan Manoj telah ditahan oleh pihak berkuasa

kredit : duniacacamarba.blogspot.com

Info Gallery - Sekarang kenalan pun tidak boleh dipercayai

Tiga terkorban selepas minum

keadaan Myvi yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Jerteh-Pasir Puteh, Besut semalam.
keadaan Myvi yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Jerteh-Pasir Puteh, Besut semalam.

BESUT - Kegembiraan lima sahabat minum bersama selepas sekian lama tidak berjumpa tidak berkekalan apabila tiga termasuk dua beradik maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 1, Jalan Jerteh-Pasir Puteh di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, Nik Muhammad Firdaus Suhaimi @ Rahmat, 24, adiknya Nik Muhammad Faris, 19, serta rakan mereka Nazir Nazemi, 20, yang juga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut.

Pemandu kereta Perodua Myvi, Wan Muhamad Shafiq Md. Zin, 20, cedera parah manakala seorang lagi penumpang kereta itu, Mohd. Fakhrulhanif Zainuddin, 26, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, kejadian berlaku apabila pemandu dipercayai gagal mengawal kereta selepas melepasi lampu isyarat di persimpangan Kampung Seberang Jerteh, menyebabkan kereta terbabas dan melanggar beberapa papan tanda.

"Pelanggaran itu mengakibatkan empat daripada mereka, kecuali Mohd. Fakhrulhanif terpelanting keluar menerusi tingkap kereta terbabit," kata beliau.

Kamaruddin berkata, dua daripada mereka maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Muhammad Faris meninggal dunia di Hospital Daerah Besut ketika menerima rawatan.

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Pandu perlahan,jiwa selamat

Kera naik tocang ganggu orang

ORANG ramai termasuk anggota bomba cuba menghalau kera liar (gambar kecil) yang mengganggu penduduk di Teluk Intan kelmarin.
ORANG ramai termasuk anggota bomba cuba menghalau kera liar (gambar kecil) yang mengganggu penduduk di Teluk Intan kelmarin.


TELUK INTAN - Penduduk Kampung Bahagia di sini tidak lagi sebahagia seperti dahulu.

Puncanya kerana hampir setiap hari mereka kini diancam oleh sekumpulan kera liar yang semakin mengganas sejak beberapa hari lepas.

Malah kelmarin, kera dari kawasan hutan berhampiran didapati bertindak di luar batasan apabila menceroboh masuk ke rumah penduduk dan cuba menggigit seorang bayi berusia 11 bulan di dalam buaian.

Mangsa, Jariah Mohd. Yunus, 53, berkata, pada kejadian pukul 8 pagi itu menyebabkan dia trauma untuk membuka tingkap rumahnya.

"Ketika itu saya sedang sibuk mengemas rumah manakala seorang lagi cucu berusia dua tahun berada di ruang tamu. Namun tanpa disedari muncul empat ekor kera dan seekor daripadanya melompat masuk ke dalam buaian dan cuba gigit kepala cucu saya yang tidur.

"Saya menjerit dan suami cuba menghalaunya tetapi gagal berbuat demikian," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Katanya, dia dan suami, Mohd. Ibrahim Junaidi, 64, kemudiannya nekad menarik cucu mereka keluar dari buaian dan membawa ke pekarangan rumah.

"Kera itu naik angin dan mula menyerang kami bertiga. Akibat marah, dua daripadanya naik atas bumbung rumah dan mula bertindak ganas," katanya.

Pada kejadian berasingan, seorang lagi penduduk, Dayang Abdullah, 53, juga pernah dikejar tiga ekor kera semasa menjemur pakaian.

"Saya ketakutan berlari masuk ke dalam rumah dan menutup semua tingkap. Kera terbabit kemudiannya marah dan mematahkan antena televisyen sebelum melarikan kain saya," katanya.

Pada kejadian kelmarin, penduduk kemudiannya menghubungi bomba namun kehadiran pasukan itu tidak menakutkan kera malah ada di antara mereka dikejar haiwan berkenaan.

Selepas beberapa jam, haiwan terbabit kemudiannya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Pernah dikejar kera ketika berkelah

Dangi diiktiraf lelaki paling pendek di dunia

WAJAH Chandra Bahadur Dangi semasa dia diukur.
alt="WAJAH Chandra Bahadur Dangi semasa dia diukur."

KATHMANDU - Seorang lelaki berusia 72 tahun, Chandra Bahadur Dangi dari sebuah kampung terpencil di barat daya Nepal diiktiraf semalam sebagai lelaki paling pendek di dunia selepas ketinggiannya diukur oleh beberapa pegawai Guinness World Records.

Dangi setinggi 54.6 sentimeter (sm), 5.3sm lebih pendek daripada pemegang rekod sebelum ini, Junrey Balawing dari Filipina.

"Saya berasa amat gembira," kata Dangi kepada pemberita.

"Saya akan bekerja untuk mempromosikan negara saya ke seluruh dunia," tambahnya.

Dangi yang seberat 12 kilogram juga diisytiharkan sebagai manusia paling pendek pernah direkodkan sekali gus mengambil alih tempat Gul Mohammed yang setinggi 57sm sebelum dia meninggal dunia pada tahun 1997 semasa berumur 40 tahun.

"Saya terus-menerus berasa takjub bahawa rekod ini terus dipecahkan," kata Ketua Pengarang Guinness World Records, Craig Glenday dalam satu kenyataan selepas ketinggian Dangi diukur di sini.

Menurutnya, jika umur Dangi betul, dia akan menjadi individu paling tua yang memiliki rekod dalam sejarah 57 tahun Guinness World Records.

Dangi tinggal di daerah Dang, 350 kilometer dari sini.

Dia pernah menyatakan sudah terlalu tua untuk berkahwin tetapi masih berminat untuk mengembara ke negara-negara lain.

Beberapa pegawai Guinness World Records menyatakan mereka masih belum mengetahui punca yang menyebabkan Dangi menjadi pendek.

Dangi pernah menyatakan bahawa dia dijadikan bahan sarkas semasa muda oleh beberapa saudaranya.

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Terasa tidak cukup tinggi apabila melihat ketinggian orang lain,sedangkan masih ramai lagi yang pendek daripada kita

Bapa dakwa terbeli susu tiruan

MOHD. FAISAL bersama anaknya menunjukkan perbezaan bungkusan susu tepung yang biasa dibelinya (kiri) dan yang didakwa tiruan (kanan) di Bayan Baru, George Town semalam.
MOHD. FAISAL bersama anaknya menunjukkan perbezaan bungkusan susu tepung yang biasa dibelinya (kiri) dan yang didakwa tiruan (kanan) di Bayan Baru, George Town semalam.


GEORGE TOWN - Seorang bapa terkejut apabila mendakwa dua kotak susu tepung yang dibeli untuk anaknya dari sebuah pasar raya besar di Bayan Baru di sini, pada 16 Februari lalu rupa-rupanya bukan susu sebaliknya hanya serbuk putih yang menyerupai susu tepung.

Mohd. Faisal Mohd. Kassim, 30, mendakwa, sebaik sahaja membuka setiap bungkusan susu berjenama terkemuka itu, dia mendapati plastik lutsinar itu mengandungi tepung berwarna putih yang berbeza dengan susu tepung asli yang biasanya dibungkus dengan plastik aluminium dan serbuk susunya berwarna krim.

"Bukan itu sahaja, susu tepung itu tidak mempunyai bau dan rasa seperti yang dibeli pada setiap bulan, sejak anak sulung, Muhammad Afiq Hafizuddin berusia dua bulan.

"Mujur kami berjaya mengesan lebih awal dan tidak sempat memberinya minum lagi," katanya sambil menyatakan susu tepung itu dibeli pada harga diskaun iaitu RM16.99 bagi setiap 700 gram.

Dalam pada itu, Mohd. Faisal turut memaklumkan masalah tersebut kepada pihak pasar raya terbabit pada 18 Februari lalu dan mereka turut mengesan susu tepung lain berjenama sama yang bungkusannya mencurigakan.

"Pihak pasar raya terbabit memberitahu akan mengambil tindakan termasuk menghubungi syarikat pembekal susu itu untuk memaklumkan perkara tersebut.

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Dulu telur tiruan,sekarang susu pun tiruan,boleh membahayakan nyawa kanak-kanak

Wanita trauma terima nota cinta, ayam

Dua pegawai polis memeriksa tiga ekor ayam yang digantung di pagar rumah mangsa di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kelmarin
Dua pegawai polis memeriksa tiga ekor ayam yang digantung di pagar rumah mangsa di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kelmarin

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Nota tertulis ayat-ayat cinta yang ditujukan kepada artis Diana Danielle dan penyampai berita TV3, Pang Chinn Fei selain tiga ekor ayam hidup adalah antara kiriman yang diterima seorang wanita sejak dua minggu lalu sehingga hidupnya kini dalam keadaan trauma.

Mangsa yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta di sini, menerima kiriman tersebut yang dihantar ke rumahnya di Wangsa Maju.

Menurut mangsa berusia 20-an dan enggan dikenali, pada mulanya dia menerima sampul surat yang mengandungi nota berbentuk hati tertulis nama 'Diana Danielle', dua minggu lalu.

Katanya, disebabkan bimbang keselamatannya, dia membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.

"Namun Rabu lalu, saya menerima satu lagi sampul surat berisi sehelai seluar dalam lelaki dan sekeping nota tertulis Kepada Diana Danielle daripada peminat setia," katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Wangsa Maju di sini.

Mangsa berkata, semasa memeriksa peti surat rumahnya semalam, dia dikejutkan lagi apabila menerima satu sampul surat mengandungi bekas cermin mata, gelang dan dua keping gambar lelaki Melayu, selain nota tertulis Kepada Pang Chinn Fei, I Love You, pukul 11.30 pagi.

"Pada pukul 6.30 petang pula, saya terkejut menerima sebuah beg yang digantung di pagar rumah mengandungi tiga ekor ayam hidup," katanya.

Dia yang baru berpindah ke rumah itu sejak lima bulan lalu bersama keluarganya, kini trauma selepas empat kali menerima kiriman misteri itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan memberitahu, belum dapat mengaitkan kejadian tersebut dengan ugutan jenayah

kredit : Utusan.com.my

Info Gallery - Masih ada yang menggunakan surat untuk meluahkan rasa hati

JAIP bertindak atas aduan suami wanita terbabit - Ghazali


KUANTAN 26 Feb. - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menafikan dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron yang ditangkap khalwat semalam bahawa tangkapan itu adalah 'komplot terancang' daripada pejabat agama itu.

Timbalan Pengarahnya, Datuk Mohd. Ghazali Abd. Aziz menegaskan, tindakan tersebut dibuat atas aduan daripada suami wanita terbabit yang menghubungi penguat kuasa JAIP supaya datang ke hotel itu kerana didapati isterinya bersama dengan lelaki lain.

"JAIP tidak pernah merancang atau berkomplot untuk membuat tangkapan terhadap kedua-dua individu terbabit.

"Lagipun sebarang tangkapan dibuat atas aduan orang ramai. Perkara seperti merancang atau komplot tidak pernah terjadi dalam tangkapan sebelum ini kerana JAIP mempunyai prosedur yang ditetapkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, seorang pemimpin PKR Selangor ditangkap khalwat bersama seorang wanita berstatus isteri di sebuah hotel di Balok semalam.

Beliau ditangkap bersama pasangannya oleh suami kepada wanita tersebut yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah institut kemahiran di negeri ini.

Suami kepada wanita itu kemudiannya menghubungi penguatkuasa JAIP yang datang ke bilik hotel itu kira-kira pukul 3 pagi.

Mohd. Ghazali berkata, panggilan yang dibuat oleh orang ramai diibaratkan seperti menghubungi bomba jika berlaku kebakaran atau kecemasan.

"Begitu juga dengan JAIP jika dihubungi orang ramai sekiranya terdapat kes khalwat, kami akan bertindak atas aduan itu," katanya.

Dalam pada itu, katanya, JAIP akan memanggil semula Badrulamin yang didakwa berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri di sebuah hotel di sini semalam.

Katanya, pemimpin dan wanita itu dijangka hadir ke pejabat JAIP kira-kira pukul 9 pagi esok bagi melengkapkan siasatan berhubung kes tersebut.

"Ia adalah prosedur biasa bagi memudahkan kelancaran pihak kami menjalankan siasatan kes tersebut," katanya.

Mohd. Ghazali berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

kredit : Utusan.com.my

Info Gallery - Prosedur dan tindakan JAIP adalah sama tidak kira peringkat dan pangkat orang yang ditangkap

26 Februari 2012

wanita "jual diri" di e-bay


Emirates24/7 memetik beberapa sumber melaporkan seorang wanita berusia 38 tahun begitu terdesak untuk mencari pekerjaan telah melelong dan menawar dirinya di laman eBay.

Deborah Bowen bergelut untuk membayar balik gadai dan berhadapan kemungkinan diusir dari rumahnya Gloucester yang dikongsi bersama dengan pasangannya.

Wanita British itu memutuskan untuk "menjual" dirinya di eBay kerana mahu mendapatkan perhatian bakal majikan.

Iklannya: "Untuk dijual - pekerja yang sanggup berkerja sebagai staf tetap atau sementara". Iklan itu turut memuatkan CVnya

Iklannya dieBay seterusnya menyatakan"Sales professional/BDM/W/house will do almost anything for work. Please read on, Could you be the right person to give me the right opportunity?"

Biarpun mencuba cara yang agak ektrem, namun iklan tersebut gagal menarik perhatian mana-mana pembida.

Bowen memberitahu Daily Mail bahawa rumahnya memerlukan banyak penyelenggaraan. Oleh sebab itu, mereka tidak dapat menyewakan bilik tidur ketiga di rumah itu.

"Pasangan saya bekerja tetapi pekerjaan itu hanya sementara," katanya kepada DM.

"Saya fikir eBay dapat menjadi platform terbaik untuk mencapai audiens yang lebih besar dan individu daripada pelbagai sektor.

"Saya telah mencuba nasib di pelbagai agensi pekerjaan, tetapi apabila mereka mendapat tahu saya telah dua kali menganggur mereka hanya fikir saya seorang yang gemar "melompat" kerja. Akibatnya, saya tidak ditawarkan apa-apa peluang pekerjaan."

"Hakikatnya, saya akan melakukan apa-apa sahaja, memandu trak forklift atau pun mencuci tandas. Saya tidak fikir orang ramai memahaminya (kesungguhan)." -DCM



Info Gallery - Susahnya nak dapat kerja,orang kita pula asyik beri peluang pekrjaan kepada rakyat asing

Kondom terjatuh dari poket


LOS ANGELES: Selebriti kegilaan remaja yang mula melakar nama di saluran Disney, Zac Efron, pasti aib apabila sepaket kondom terjatuh dari poketnya ketika dia tiba untuk menghadiri tayangan perdana filem terbaru, The Lorax, semalam.

Insiden berlaku ketika dia mengeluarkan tangan dari poket seluar untuk bersalaman dengan peminatnya yang menunggu pintu masuk ke panggung.


Kebanyakan peminat yang berbaris pada majlis itu adalah kanak-kanak atau remaja kerana filem berkenaan dihasilkan untuk tontonan keluarga.

Kejadian itu turut dirakamkan dalam bentuk video dan menjadi perhatian ramai di Internet.


Menurut sumber, peminat pasti tertanya-tanya apa yang difikirkan Efron ketika memasukkan kondom berkenaan ke poketnya

kredit : Hmetro.com.my

Info Gallery - Apa agaknya yang difikirkan oleh selebriti ini?

Orang Asli menang kereta Mercedes


SEREMBAN - Rezeki terpijak. Itu ungkapan yang sesuai diberikan kepada Sapiah Aping, 45, Orang Asli suku kaum Semaling dari Bera, Pahang, apabila memenangi sebuah kereta Mercedes-Benz E200 CGI.
Sapiah yang bekerja sebagai penoreh getah, memenangi hadiah kereta mewah itu, hasil menyimpan sejumlah wang dalam Sijil Simpanan Premium (SSP) yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

Menurutnya, dia tidak menyangka menjadi individu bertuah memenangi hadiah pertama bagi bulan Januari iaitu sebuah kereta mewah yang menjadi idaman ramai.

“Buat masa ini saya tidak mempunyai lesen memandu tapi saya akan cuba mendapatkannya dalam masa terdekat kerana sudah mempunyai kereta sendiri.

“Saya tidak bercadang menjualnya. Buat sementara waktu, saya akan minta adik lelaki menjadi pemandu,” katanya ketika ditemui di Terminal 2 di sini, semalam.

Sapiah berkata, dia dimaklumkan oleh kakitangan bank berkenaan melalui panggilan telefon mengatakan memenangi hadiah sebuah kereta.

“Namun saya tidak percaya memenangi kereta mewah ini sehinggalah saya dapat melihat sendiri kereta yang berharga RM375,000, yang kini menjadi milik saya,” katanya.

kredit : Sinarharian.com.my

Info Gallery - Berangan untuk memiliki dan memandu sebuah kereta

Brunei kelima terkaya


BANDAR SERI BEGAWAN 25 Feb. - Brunei Darussalam menduduki tangga kelima senarai 182 negara paling kaya di dunia hasil daripada kekayaan sumber minyak dan gas asli negara itu yang menyumbang pendapatan per kapita sebanyak AS$48,000 (RM144,581).

Menurut majalah Forbes menerusi laporan dalam taliannya, kedudukan negara terkaya di dunia dinilai berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang diselaraskan dengan kuasa beli.

Forbes turut menggunakan data yang dikumpulkan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bermula 2010 hingga yang terbaru.

"Kuasa beli yang disesuaikan dengan KDNK digunakan oleh pakar ekonomi ketika membuat perbandingan antarabangsa kerana ia mengambil kira perbezaan kos sara hidup dan kadar inflasi berbanding hanya membuat perbandingan kadar pertukaran asing yang memutarbelit perbezaan sebenar dalam nilai," lapor majalah itu.

Awal bulan ini, Jabatan Pembangunan dan Perancangan Ekonomi (JPKE) melaporkan, indeks harga pengguna Brunei meningkat 1.8 peratus dari 2010 ke 2011, manakala purata pertumbuhan negara itu kurang daripada satu peratus setiap tahun.

Menurut JPKE, purata tahunan Indeks Harga pengguna (CPI) Brunei pada 2011 adalah 106.9 berbanding 104.8 pada 2010, dengan kadar inflasi dua peratus sepanjang tahun lalu.

Ekonomi Brunei didominasi oleh industri minyak dan gas dengan 90 peratus daripada eksportnya dan lebih separuh daripada KDNK negara itu datang daripada sektor tersebut.

Qatar dinamakan negara terkaya di dunia dengan jumlah KDNK per kapita lebih AS$88,000 (RM265,065) pada 2010, sementara Luxembourg di tangga kedua dengan KDNK per kapita lebih AS$81,000 (RM243,980) hasil daripada menjadi negara hab kewangan.

Singapura berada di tangga ketiga dengan KDNK per kapita hampir AS$56,700 (RM243,980), manakala Norway di kedudukan keempat dengan jumlah KDNK per kapita AS$52,000 (RM156,629)

kredit : Utusan.com.my

Info Gallery - Negara kecil,tetapi bijak menggunakan segala hasil bumi yang ada

Terkena tembakan curi


RANTAU PANJANG – Seorang mekanik dari Lubok Setol di sini, meninggal dunia setelah terkena tembakan pada rusuk kanan kira-kira jam 2.45 petang semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian, mangsa, Azhar Daud, 40, bersama rakannya berada di atas perahu sedang menangkap ikan di bawah pohon buluh di Pengkalan Air Hassan, Lubok Setol, di sebelah Thailand.

“Secara tiba-tiba rakan mangsa terdengar lima das tembakan yang datang dari arah semak sebelah tebing Thailand dilepaskan.

“Kejadian berlaku kira-kira 30 meter daripada tempat mangsa berada. selepas tembakan dilepaskan, rakan mangsa juga terdengar seperti ada orang berlari dan rakan mangsa juga percaya pistol yang digunakan jenis automatik kerana bunyi tembakan itu berturut-turut,” katanya kepada pemberita, semalam.

Menurutnya, mangsa yang parah kemudiannya dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas dan disahkan meninggal dunia.

“Mangsa yang berasal dari Thailand telah lama menetap di Malaysia dan bekerja sebagai mekanik, semasa ditembak, berada di dalam perahu di bawah pohon buluh di Pangkalan Haram Air Hassan, Lubok Setol.

“Mangsa juga dipercayai mempunyai dua kerakyatan dan keluarganya masih tinggal di Selatan Thailand,” katanya.

Jalaluddin berkata, berikutan kejadian itu, polis sudah mengambil keterangan daripada dua rakan mangsa dan masih mengesan lagi saksi serta suspek untuk membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum sampai mati.

“Pihak kami sudah meminta bantuan polis antarabangsa (interpol) untuk kerjasama dengan Thailand untuk mengesan saksi dan suspek,” katanya.

Sementara itu, majikannya Bunyamin Yusof, 58, tidak menyangka arwah ditembak dan menganggap arwah seperti anaknya sendiri sejak tinggal bersamanya 10 tahun lalu.

Bunyamin berkata, petang semalam dia menerima panggilan telefon daripada anaknya, Mohd Hasani, 28, yang keluar menjala bersama arwah supaya menghubungi ambulans kerana arwah ditembak.

Menurutnya, dia tidak bertanya lebih lanjut sebaliknya terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mendapatkan bantuan.

“Ketika ke tempat kejadian, anak saya sedang memangku arwah, saya memeriksa nadi arwah masih bernafas ketika itu dan difahamkan meninggal dalam perjalanan ke hospital.

“Setahu saya arwah tidak mempunyai musuh dan tidak tahu kenapa dia ditembak,” katanya.

Bunyamin berkata, arwah seorang yang mudah didekati, ringan tulang dan tidak banyak karenah serta lebih mengutamakan kerja pada setiap masa.

“Sikap itu menyebabkan arwah begitu disenangi bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga saya, malah penduduk setempat juga turut menyayanginya kerana kebaikannya.

“Kali terakhir saya bertemu arwah pagi semalam ketika dia hendak keluar menjala bersama anak saya, Mohd Hasani ,28," katanya.

Bunyamin berkata, arwah tidak menunjukkan perubahan cuma tidak makan nasi sebelum keluar pagi semalam walhal itu rutinnya setiap hari.

Menurutnya, ketika arwah bangun pagi semalam, lauk yang dijual isteri habis, jadi anak perempuan menawarkan diri untuk memasak telur tetapi ditolak arwah dengan alasan telah makan kuih.

“Selepas itu arwah keluar dan saya kemudiannya dikejutkan dengan panggilan telefon memberitahu kejadian menimpa arwah,” katanya.

Bunyamin berkata, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lubok Setol setelah selesai bedah siasat.

kredit : Sinarharian.com.my

Info Gallery - Jauhi kawasan yang tidak selamat

Bantuan adik kali terakhir


KUANTAN: “Ketika kejadian, saya membasuh bahagian atas mesin pembancuh simen sebelum terdengar seperti orang jatuh dan terkejut mendapati adik bongsu meronta-ronta sambil lehernya tersepit pada besi mesin berkenaan.

“Saya bergegas turun untuk menyelamatkannya namun gagal walaupun dengan bantuan rakan sekerja. Dia hanya berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian,” kata Mohd Zainuddin Hamid, 38, menceritakan kejadian yang meragut nyawa adiknya, semalam.


Dalam kejadian jam 1 tengah hari, Ridzwan Hamid, 29, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas lehernya tersepit besi mesin pembancuh simen ketika melakukan kerja pembersihan di kilang batu-bata tempatnya bekerja di Bukit Rangin, di sini.

Mangsa yang juga anak bongsu daripada enam beradik meninggalkan seorang isteri yang kini mengandung lima bulan serta dua anak, termasuk seorang anak tiri, berusia lapan dan tiga tahun.


Menurut Zainuddin, adiknya sepatutnya ditugaskan sebagai pemandu ‘forklift’ semalam, namun dia beria-ia mahu membantunya membersihkan mesin selepas tamat waktu rehat dan mangsa membersih di bahagian bawah mesin.


“Kami sedaya upaya mengeluarkan mangsa daripada besi mesin itu, namun dia hanya berjaya dikeluarkan selepas kami membuka skru mesin setengah jam kemudian. Malangnya dia sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Ibu mangsa, Khatijah Daud, 63, berkata anak bongsunya sepatutnya pergi ke rumah mentuanya di Bukit Goh, di sini, selepas tamat kerja kerana mahu menyambut hari jadi anak saudara, manakala isterinya menunggunya di sana.


“Ridzwan turun awal ke tempat kerjanya hari ini (semalam) dan dia kelihatan bersemangat, namun kami tak sangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

kredit : Hmetro.com.my

Info Gallery - Utamakan keselamatan,berhati-hati ketika bekerja

Kalau tak nak, buang!

SAYANG... Wan Shahira memangku bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan pintu rumah keluarganya
SAYANG... Wan Shahira memangku bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan pintu rumah keluarganya

KUALA TERENGGANU: “Ambillah budak ini, kalau tak nak jaga buang je, budak ini baik, tak menangis,” kata seorang wanita warga emas kepada Wan Shahira Wan Nazri, 23, ketika meninggalkan bayi lelaki dipercayai baru berusia seminggu di pintu depan rumah keluarga angkatnya di Kampung Beladau Kepong, di sini, petang kelmarin.

Menurutnya, selepas berkata demikian, wanita berusia lingkungan 70-an itu meletakkan bayi malang yang dianggarkan seberat tiga kilogram dan masih bertali pusat itu di atas pengalas kaki di depan pintu sebelum bergegas meninggalkan rumah dalam kejadian jam 6 petang.


“Saya kemudian terus mengambil bayi yang lengkap berpakaian dan berstoking itu ke bilik tidur sebelum memberitahu ayah angkat yang pulang ke rumah selepas Maghrib,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga angkatnya, malam kelmarin.

Wan Shahira berkata, kejadian berlaku ketika dia menidurkan adik bongsunya berusia tiga bulan di ruang tamu manakala ibu bapa angkat, Rashid Sulong, 56, dan Rokiah Mohamad, 36, tiada di rumah kerana berniaga di kedai makan yang diusahakan mereka di Kampung Sungai Rengas, tiga kilometer dari rumah.


“Pada mulanya, saya mencadangkan kepada wanita terbabit supaya menyerahkan bayi itu kepada ibu angkat yang berada di kedai makan di Kampung Sungai Rengas selepas dia mendakwa mengenali ibu yang mesra dengan panggilan Mak De.


“Wanita itu juga mendakwa tinggal di Jerangau, Hulu Terengganu, di tempat di mana ibu angkat saya berasal.

“Dia datang ke rumah dengan menaiki sebuah kereta jenis Ford Laser lama berwarna merah dipandu seorang lelaki yang kelihatan berusia hampir sebaya dengan wanita terbabit dan ketika kejadian, lelaki itu hanya menunggu di dalam kereta,” katanya.


Sementara itu, Rashid berkata, selepas dimaklumkan Wan Shahira mengenai kejadian terbabit, dia terus ke rumah pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Beladau Kepong untuk memaklumkan perkara itu sebelum menghubungi Balai Polis Chabang Tiga, di sini, jam 9 malam.

“Ketika kejadian, saya dan isteri berada di kedai makan yang kami usahakan, manakala Wan Shahira menidurkan adik bongsunya berusia tiga bulan di rumah sementara seorang lagi anak, Fatin Nurshafikah, 9, tidur di bilik dan dua anak lagi keluar bermain.


“Saya tidak pasti siapa warga emas berkenaan walaupun mereka mendakwa berasal dari kampung isteri di Jerangau, Hulu Terengganu,” katanya.


Bagi memastikan sejauh mana kebenaran dakwaan itu, Rashid berkata, dia memberitahu kejadian itu kepada isterinya yang kemudian menghubungi saudara-mara di Jerangau, namun dimaklumkan tiada saudara mereka di sana yang bersalin dan menasihati wanita itu membuat laporan polis.


“Saya percaya mereka yang melakukan perbuatan itu mengenali keluarga saya kerana dimaklumkan mereka terus menuju ke rumah ketika menghantar bayi ini,” katanya.


Bayi terbabit kemudian dibawa anggota polis ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, dengan ditemani Wan Shahira dan seorang jiran pada jam 11.50 malam sebelum mereka membuat laporan di Pondok Polis HSNZ jam 12.30 pagi semalam.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi lelaki terbabit dan berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

kredit : Hmetro.com.my

Info Gallery - "Rumah kata pergi,kubur kata mari",dalam usia lanjut seperti itu pun masih bersikap kejam

Lahir anak moyang


SUBANG JAYA: Dia memiliki dua isteri dan sudah bercicit. Bagaimanapun, status itu langsung tidak menghalang seorang lelaki berusia 75 tahun meneruskan kegilaannya terhadap gadis belasan tahun.

Bagi mencapai hajatnya, moyang terbabit yang berharta tidak berkira untuk menghamburkan wang, asalkan ‘pucuk muda’ diidam jatuh ke tangan.

Lebih jijik, dia juga didakwa tidak teragak-agak menggunakan khidmat bomoh untuk menyihir mangsa andai kemahuannya ditolak mentah-mentah gadis idaman yang sebaya cicitnya.

Setakat ini, tiga gadis belasan tahun mendakwa dinodai moyang terlampau terbabit yang dikenali dengan nama Borhan hingga seorang daripada mereka mengandung anak luar nikah.


Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 17, mendakwa mengenali Borhan di sebuah pusat karaoke ketika moyang terbabit datang ke pusat hiburan itu untuk berhibur.

kredit : Hmetro.com.my

Info Gallery - Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi

Kartun dijangka peroleh lelongan RM120 juta

LUKISAN bertajuk Sleeping Girl yang dihasilkan oleh Roy Lichtenstein dan bakal dilelong pada 9 Mei depan,<br />dijangka mampu mencecah harga AS$40 juta.
LUKISAN bertajuk Sleeping Girl yang dihasilkan oleh Roy Lichtenstein dan bakal dilelong pada 9 Mei depan,
dijangka mampu mencecah harga AS$40 juta.

NEW YORK - Lukisan artis Roy Lichtenstein bertajuk Sleeping Girl yang diinspirasikan daripada buku komik dijangka dapat dilelong pada harga AS$40 juta (RM120.4 juta) oleh rumah lelongan Sotheby's di New York pada 9 Mei depan.

Lukisan tahun 1964 yang memaparkan seorang wanita berambut perang dan seksi itu merupakan sebahagian daripada siri lukisan Lichtenstein. Ia disifatkan sebagai hasil karya terhebat dunia seni pasca perang Amerika Syarikat.

"Sleeping Girl ialah salah satu karya terbaik kurun ke-20. Ia sebaris dengan lukisan ikonik wanita oleh pelukis seperti Pablo Picasso, Constantin Brancusi dan Amedeo Modigliani.

"'Gadis-gadis' Lichtenstein sememangnya antara hasil karya Lichtenstein yang paling dikehendaki pada hari ini. Sleeping Girl didambakan oleh para peminatnya sejak ia dihasilkan pada tahun 1964. Lukisan ini amat segar dan bertenaga, seolah-olah ia baru dilukis semalam," kata Ketua Seni Kontemporari Seluruh Dunia Sotheby's, Tobias Meyer.

Lukisan yang menjadi sebahagian daripada Jualan Seni Kontemporari Sotheby's akan dipamerkan di Los Angeles, Hong Kong, London dan New York sebelum dilelong.

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Jual komik pun boleh jadi kaya raya

Badrul Amin nafi laporan ditangkap khalwat

y

SHAH ALAM - Pemimpin kanan PKR, Dr Badrul Amin Baharon menafikan laporan media bahawa beliau telah ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di Kuantan awal pagi semalam, sebaliknya menegaskan beliau hanya mahu membantu seorang wanita yang berhadapan dengan masalah keluarga.

Badrul Amin berkata, beliau akan hadir di pejabat Jaip esok untuk diambil kenyataan oleh agensi itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, Badrul Amin berkata, beliau beranggapan bahawa kejadian terbaru ini satu tindakan terancang untuk "memerangkap dan mengaibkan saya."

Badrul Amin berkata, wanita berkenaan telah menghubunginya kelmarin dengan nada cemas dan menyatakan hasrat untuk melarikan diri dari rumah kerana bimbangkan keselamatan diri.

Bagaimanapun, menurut Badrul Amin, beliau telah menasihatkan agar wanita berkenaan tidak berbuat demikian.

"Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian.

"Walau bagaimanapun pada jam 2 pagi 25 Februari (semalam), beliau telah menghubungi saya memaklumkan bahawa dia sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin PKR (di sebuah hotel di Kuantan)," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Badrul Amin juga berkata, beliau telah mengenali pasangan suami isteri terbabit sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrahnya.

"Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga.

"Dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin," katanya lagi.

Oleh itu jelas Badrul Amin, atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, beliau membantu wanita berkenaan mendapatkan bilik penginapan.

"Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya.

"Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.

"Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka," katanya sambil menambah, "namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik."

Dalam kenyataannya, Badrul Amin juga berkata, hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jaip tiba dan menahannya berseorangan dalam bilik.

Sehubungan itu, Badrul Amin juga berkata, kenyataan Timbalan Pengarah Jaip bahawa beliau ditahan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa jabatan itu ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali.

"Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya.

"Saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan Jaip pada 27 Februari 2012. Saya akan hadir bersama peguam untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan ini," katanya lagi.

Katanya, dengan penjelasan itu beliau berharap semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap saya.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadap saya," katanya lagi.

kredit : Sinaharian.com.my

Info Gallery - Jauhi maksiat dan fitnah

25 Februari 2012

Pelajar dibunuh kejam di bilik air rumah



TAIPING - Mayat seorang pelajar berusia 16 tahun ditemui berlumuran darah, dipercayai dibunuh di dalam bilik air rumahnya di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, petang kelmarin.

Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu, mayat Nurul Aien Mohd Saimon ditemui dalam dalam kolah air dalam rumahnya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian, mendapati bahagian belakang kepala mangsa cedera dengan kesan luka dipercayai dipukul dengan benda keras.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui sama ada kemungkinan mangsa dirogol atau tidak sebelum dibunuh.

"Polis juga belum menemui sebarang senjata atau benda keras yang digunakan dalam pembunuhan ini,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, pihak polis menolak kemungkinan kes ini ada kaitan dengan rompakan berdasarkan tiada dokumen penting atau barangan dalam rumah berkenaan yang hilang.

"Dipercayai seorang suspek terlibat dalam kes tersebut dan motif pembunuhan juga masih disiasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Yusuf berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping sebelum dibawa ke Hospital Ipoh untuk bedah siasat.

Jenazah dikebumikan kira-kira jam 11 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 9 Jalan Trong, Changkat Jering, semalam.

kredit : Sinarharian.com.my

Info Gallery - Hampir setiap hari ada kes bunuh di negara kita,mangsanya baik golongan muda,bayi bahkan ada juga golonga tua.

'Dia menyiku saya dahulu'

INSIDEN yang hampir mencetuskan keadaan tegang antara Fakri (dua dari kanan) dengan pemain Jepun selepas tamat perlawanan kelayakan Olimpik di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu lepas.
INSIDEN yang hampir mencetuskan keadaan tegang antara Fakri (dua dari kanan) dengan pemain Jepun selepas tamat perlawanan kelayakan Olimpik di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu lepas.

“DIA (Higa Yusuke) yang siku saya terlebih dahulu, tambahan pula ketika itu wisel penamat sudah pun ditiupkan.

“Justeru, spekulasi yang mengatakan saya sengaja membuat provokasi kepada pemain Jepun semata-mata mahu mempengaruhi pengadil melayangkan kad merah kepada mereka sememangnya tidak benar sama sekali."

Demikian penjelasan pemain skuad Olimpik negara, Ahmad Fakri Saarani yang dilihat ‘bertikam lidah’ dengan beberapa pemain Jepun termasuk Yusuke sebaik pasukannya tewas 0-4 dalam aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia Kumpulan C di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam Rabu lepas.

Ekoran tindakannya itu, Fakri, 22, kini teruk dikecam peminat bola sepak tempatan terutamanya di blog dan Facebook yang menyifatkannya tidak mempunyai semangat kesukanan.

Sebelum ini, penyerang Felda United itu juga sering menjadi sasaran cemuhan peminat gara-gara gagal mempamerkan aksi memberangsangkan setiap kali mewakili pasukan kebangsaan.

Mengulas lanjut, Fakri yang mengakui lebih selesa beraksi di bahagian tengah memberitahu, dia bukannya sengaja menyerbu Yusuke selepas itu.

“Saya hanya mahukan penjelasan pemain itu berhubung tindakannya mengasari saya walaupun perlawanan sudah tamat.

“Begitupun, dia sebaliknya mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya sehingga menyebabkan saya kurang sabar,” jelasnya kepada Kosmo!.

Menurut Fakri, dia meminta maaf kepada peminat jika ada yang berasakan tindakannya itu tidak wajar.

“Mereka (peminat) di luar padang mungkin tidak tahu cerita sebenar, jadi saya harap penjelasan saya dapat menjernihkan semula keadaan,” katanya.

Pada perlawanan itu, Hiroki Sakai, Yuya Osako, Genki Haraguchi dan Manabu Saito masing-masing meledak satu gol buat Jepun yang kini kembali menerajui Kumpulan C dengan 12 mata selepas pencabar terdekat, Syria dikejutkan Bahrain dengan keputusan 1-2.

Syria dan Bahrain kini berkongsi sembilan mata manakala Malaysia kekal di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata sekali gus menyaksikan pintu temasya Olimpik London sudahpun tertutup rapat.

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Anda tonton aksi perlawan Malaysia dan Jepun tempohari?Apa pendapat anda?

Pengasas Berjaya ikrar 'derma' saham RM600j


KUALA LUMPUR - Pengasas Kumpulan Berjaya Tan Sri Vincent Tan hari ini mengikrarkan untuk memindahkan saham bernilai RM600 juta dalam dua syarikatnya kepada Better Malaysia Foundation yang ditubuhkan untuk tujuan amal.

Ini akan dilakukan tahun ini menerusi saham bernilai RM400 juta dalam U-Mobile Telecommunication Berhad yang akan disenaraikan dan RM200 juta dalam bentuk Pinjaman Tidak Bercagar Tidak Boleh Tebus Berjaya Corporation Berhad, demikian diumumkan beliau pada sambutan Hari Pengasas Berjaya di Berjaya Times Square di sini.

Pada sambutan Hari Pengasas Berjaya buat julung kalinya tahun lepas, hartawan itu mengikrarkan untuk menderma separuh kekayaannya untuk kebajikan sepanjang hayatnya.

Semasa beliau menyambut harijadinya yang ke-60 dua hari lepas, Tan mengumumkan beliau melepaskan jawatan sebagai pengerusi kumpulan itu selepas sebelum ini melepaskan jawatan CEO kepada anak sulungnya, Datuk Robin Tan.

"Ia bukannya mudah untuk mengambil keputusan ini kerana Berjaya telah menjadi sebahagian hidup saya. Apabila saya mencecah umur 60 tahun, saya perlu kurangkan keutamaan saya untuk menndapatkan ganjaran lain daripada kewangan supaya saya boleh luangkan lebih banyak masa untuk kerja kebajikan," katanya.

Better Malaysia Foundation, sebelum ini dikenali sebagai VTCY Foundation, menjalankan aktiviti dalam pelbagai bidang untuk menjadikan Malaysia sebuah
tempat yang lebih baik untuk hidup.

VTCY merujuk kepada nama penuh Tan iaitu Vincent Tan Chee Yioun.

Mengenai anak sulungnya itu, beliau berkata: "Beliau seorang yang berkebolehan dan saya yakin beliau akan dapat membawa Berjaya ke peringkat lebih tinggi manakala saya kekal sebagai penasihat kepada kumpulan ini. Beliau anak sulung saya dan telah berjaya menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang walaupun tidak semua anak sulung mampu berbuat demikian".

Mengenai peranannya sebagai penasihat, beliau memetik kata-kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu beliau mahu menjadi seperti seorang penasihat British, "yang bermaksud anda perlu patuhi nasihat itu".

Mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya, Tan berkata, beliau hanya mampu belajar setakat Tingkatan Lima kerana keluarganya tidak mampu membiayainya untuk meneruskan pelajaran ke universiti.

Namun beliau bersyukur kerana penguasaannya dalam bahasa Inggeris telah membolehkannya mencatatkan kejayaan besar pertama dalam hidupnya.

"Sekiranya saya tidak mampu bercakap bahasa Inggeris dengan baik, adakah anda fikir McDonald (rangkaian makanan segera Amerika) akan memberikan saya francais ini," katanya.

Tan berkata, beliau akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana usaha untuk membolehkan generasi muda Malaysia menguasai bahasa Inggeris kerana beliau percaya langkah itu akan dapat meningkatkan peluang mereka mendapat kerja.

Better Malaysia Foundation akan memperuntukkan RM10 juta dalam tempoh lima tahun akan datang untuk membina pusat-pusat pembelajaran bahasa Inggeris,
katanya.

Tan, yang baru-baru ini membeli kelab bola sepak Inggeris, Cardiff City, berkata, beliau sentiasa berasa bangga menjadi rakyat Malaysia dan atas sebab itu nama negara tertera pada jersi pasukan itu.

"Biar apa pun kata orang, Malaysia adalah sebuah negara yang amat baik dan saya amat bangga menjadi rakyat Malaysia. Sebab itu saya beritahu rakan Melayu saya: " Ini tanah tumpah darah ku".

Tan akan berlepas ke London esok bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Liga Ahad ini di Stadium Wembley di mana Cardiff City akan bertemu pasukan Liga Perdana Inggeris Liverpool.

"Dengan izin tuhan, kami akan menang," katanya sambil tersenyum lebar. Pada majlis sambutan hari ini, Tan turut menyampaikan sumbangan bernilai
RM11.6 juta kepada 61 badan kebajikan.

Turut hadir Sultanah Hajah Kalsom dari Pahang

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Kaya raya dan baik hati

Demo lucah kursus urut


KUALA LUMPUR: Apa yang dihajati ialah ilmu mengurut, namun yang dipertontonkan ialah demonstrasi urutan lucah apabila pengajar lelaki dengan selamba mengurut kemaluan dan payudara peserta wanita yang secara sukarela melondehkan pakaiannya.

Itu yang didakwa berlaku dalam satu kursus urutan tradisional di sebuah premis di ibu negara sehingga mengejutkan sepasang suami isteri yang menghadirinya bersama 30 peserta lain membabitkan lelaki dan wanita.

Pasangan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Asman, 50, dan Laila, 47, berkata tindakan pengendali kursus itu sungguh mengaibkan dan ia berbeza dengan modul yang diiklankan kepada umum.

“Saya sukar menerima hakikat apabila ada peserta perempuan yang tampil sukarela menjadi model dan tergamak membenarkan pengajar lelaki itu mengurut kemaluan dan payudaranya di depan peserta wanita lain,” kata Laila.


Pasangan suami isteri yang mengusahakan perniagaan refleksologi itu ditemui Harian Metro ketika mereka membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, di sini, semalam.

kredit : Hmetro.com.my

Info Gallery - Selamba londeh,perempuan sudah hilang malunya,lelaki sudah hilang pertimbangan.

Baju diselak penjual karpet


BALING - “Saya hanya mampu menangis dan merayu agar dia melepaskan saya. Saya cuba melawan, tapi kudratnya terlalu kuat,” kata Yana (bukan nama sebenar), 19, dari daerah ini yang dicabul oleh penjual karpet di rumahnya kira-kira jam 3 petang Khamis lalu.

Kejadian berlaku ketika Yana berada bersendirian di rumahnya sebelum dikunjungi oleh seorang lelaki yang menjual karpet datang untuk mengutip hutang kain.

Menurut gadis malang itu, ketika kejadian dia sedang mengemas rumah dan hanya seorang diri di rumahnya, manakala ibunya keluar berniaga sementara adiknya ke kedai berdekatan.

“Bila penjual itu datang saya cakap mak tiada di rumah, tapi dia tetap masuk dengan alasan nak minum air. Namun, saya rasa risau bila penjual itu asyik pandang saya.

“Saya suruh dia keluar tapi dia tidak mahu. Bila saya hendak masuk bilik, saya rasa seseorang tiup telinga saya dan bila pusing ke belakang, lelaki itu terus memeluk saya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayu, kelmarin.

Menurutnya, dia cuba melawan tetapi kudrat lelaki itu terlalu kuat dan dia tidak mampu melakukan apa-apa selain menangis.

Yana berkata, apabila dia menjerit, penjual itu menutup mulutnya sebelum mengangkatnya dan meletakkannya di atas sofa.

“Lelaki itu kata, dia hendak cium sedikit saja, tapi saya terus mengelak. Dia tidak berpuas hati dan menyelak baju saya, namun saya terus mengelak sehinggalah terdengar bunyi enjin motosikal adik di luar rumah.

“Bila saya dilepaskan, saya terus berlari ke luar rumah dan mendapatkan adik. Namun, penjual itu sempat melarikan diri,” katanya.

Anak keempat dari tujuh adik beradik itu berkata, dia dan keluarganya sememangnya mengenali lelaki itu kerana pernah berurusan dengannya sebelum ini.

Menurutnya, setiap bulan lelaki itu datang ke rumahnya untuk mengutip hutang.

“Saya dan mak memang kenal sangat penjual itu,” katanya.

Sehubungan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Baling dan tindakan pantas polis berjaya mengumpulkan beberapa lelaki yang bekerja sebagai penjual karpet di daerah ini untuk sesi kawad cam.

“Namun begitu, dia itu tidak berada dalam sesi kawad cam tersebut,” kata Yana.

Difahamkan, kejadian hitam hampir 20 minit itu mengakibatkan Yana mengalami ketakutan dan trauma sehingga terpaksa mendapatkan rawatan tradisional untuk memulihkan semangatnya.

kredit : Sinarharian.com.my

Info Gallery - Berani walaupun di negara orang

Zakat Selangor sumbang RM35,000


SHAH ALAM – Syukur Alhamdulillah! Itulah yang mampu diungkapkan Hanita Mohd Tahir, 43, apabila dimaklumkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyum­bangkan dana RM35,000 bagi membantu membiayai kos perubatan anaknya.

Terima kasih yang tidak terhingga diungkapkan berkali-kali atas bantuan yang cukup besar dalam menyelamatkan nyawa anaknya, Nur Suhaila Tujikan, 15, yang menghidap Congenital Disorder, penyakit yang jarang dihidapi di dunia.

Meskipun kos keseluruhan bagi menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sharjah, Dubai berjumlah RM60,000, sumbangan diterima daripada LZS amat besar ertinya.

Ketua Komunikasi Korporat LZS, Norajun Ainun Mohd Hashim dalam satu kenyataan berkata, LZS telah mengatur satu lawatan ke rumah Hanita selepas kisah mengenainya dilaporkan Sinar Harian. Hasil perbincangan, LZS menyum­bangkan RM35,000 bagi membiayai kos pembedahan anaknya.

Sehubungan itu, Hanita ketika dihubungi, semalam berkata, kemungkinan besar hasrat pembedahan perlu disegerakan memandangkan keadaan rahim anaknya yang semakin membesar.

“Pembedahan itu perlu dilakukan dalam kadar segera, biarpun dana masih lagi tidak mencukupi.

“Berkemungkinan pembedahan itu akan dilaksanakan Mac ini, sewaktu cuti persekolahan kerana tidak mengganggu proses pembelajaran Suhaila,” katanya.

Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan rayuan seorang ibu mendapatkan dana bagi membantu membiayai kos pembedahan anaknya untuk membuang salah satu rahim yang gagal berfungsi.

Penyakit dihadapi Nur Suhaila, menyebabkannya mempunyai dua rahim, namun salah satunya tidak berfungsi dan tidak mempunyai saluran ke kemaluan.

Bagi yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank milik Hanita: 112101581281.

kredit : Sinarharian.com.my

Info Gallery - Syabas kerana menyalurkan bantuan dengan cepat,ada sesetengah negeri apabila minta bantuan Pelajar Masuk IPT,lepas 6 bulan pun nama atau kad pengenalan masih tiada dalam senarai semakan,menyusahkan pelajar yang amat memerlukan wang diawal pengajian mereka
 

© 2010 - 2011 | Created by Info Gallery - Stories of The Worlds
Memaparkan pelbagai informasi terkini daripada sumber rencana terpilih dari dalam dan luar negara.
Kosmo Online | mStar Online | Utusan Malaysia Online | Berita Harian Online | myMetro
This work by Info Gallery is licensed under a Creative Commons Attribution 3.0 Unported License.