
IPOH- Mahkamah Tinggi Ipoh menolak tuntutan enam beradik terhadap harta berjumlah RM40 juta yang didakwa diuruskan secara tidak teratur oleh bapa saudara termasuk tiga defendan lain di sini, semalam.
Pesuruhjaya Kehakiman Har-mindar Singh Dhaliwal membuat keputusan itu selepas plaintif gagal membuktikan berlaku pecah amanah dan penipuan terhadap pentadbiran harta pusaka itu.
Pakar Psikiatari terkemuka, Tan Sri Dr M Mahadevan, menarik nafas lega apabila keputusan mahkamah berpihak kepada dirinya termasuk tiga defendan lain iaitu M Sandra Segaran, Madhuri Majumder dan S Santhakumari.
Manakala seramai enam plaintif yang terdiri daripada anak-anak mendiang M Ratnavale terbabit dalam kes tersebut.
Mereka terdiri daripada R Pachantah, R Jeganathan, Dr R Mahalakshmi, R Annalakshmi, Dr R Jeyalakshmi dan Dr R Jeyaratnam.
Menurut peguam defendan, M Mathialagan, konflik tercetus apabila terdapat pertikaian keluarga di antara anak saudara dan bapa saudara mereka berhubung hak milik lima bidang tanah berjumlah ratusan hektar yang terletak di sekitar Sungai Petani dan Kulim diuruskan dalam keadaan tidak teratur.
“Plaintif mendakwa harta pusaka milik bapa mereka tidak diuruskan dengan baik serta terdapat unsur pecah amanah dan penipuan ketika menguruskan lima bidang tanah berkenaan,” katanya.
Katanya, kes itu difailkan di Pulau Pinang pada 1994 sebelum dipindahkan ke Ipoh pada tahun 2001 dan dibicarakan November tahun lalu.
Defendan diwakili Mathialagan, V Vijaya Segaran dan S Selvarajah manakala plaintif diwakili G Raju.
Sementara itu, salah seorang anak Ratnavale, Jeyaratnam ketika ditemui di luar mahkamah menyatakan berkemungkinan akan mengemukakan rayuan untuk mendapat keadilan dan hak mereka yang diperjuangkan sejak 38 tahun lalu.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengarahkan Mahadevan untuk memulangkan semula hak milik empat bidang tanah di Jalan Scotland, Pulau Pinang bernilai RM6 juta kepada anak saudaranya.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan tersebut pada Mac tahun lalu selepas mendapati ketujuh-tujuh defendan yang juga anak saudara kepada Mahadevan mempunyai hak milik sah terhadap empat bidang tanah tersebut.
kredit : sinarharian.com.my
Info Gallery - Ramai dikalangan masyarakat kita tidak keruan bila nampak wang yang banyak
