11 Februari 2012

Teruja telur ayam berkedut


YAN - Teruja dengan kulit telur ayam berkedut yang dianggapnya unik, seorang pemuda mahu mengeluarkan isi telur berkenaan dan kemudiannya menyimpan kulitnya sebagai koleksi peribadinya.

Pemuda berkenaan, Zulkifli Hashim, 33, berkata, dia akan menggunakan picagari atau jarum suntikan sebagai alternatif untuk mengeluarkan isi telur ayam unik itu tanpa merosakkan permukaan kulitnya.

Menurutnya, dia kemudiannya akan mencari alternatif lain untuk membuatkan kulit telur unik itu tidak rosak untuk disimpan sebagai koleksi peribadinya dalam tempoh lama.

“Saya rasa bertuah kerana telah dipertemukan dengan telur unik dan aneh ini. Seumur hidup saya tidak pernah lihat telur yang mempunyai kulit berkedut dan berurat seperti kulit tangan manusia.

“Saya tidak akan menjualnya atau memberikannya kepada orang lain. Malah saya akan cuba mengeluarkan isi telur ini tanpa merosakkan kulitnya yang unik dengan menggunakan jarum suntikan atau picagari,” katanya.

Terdahulu, Zulkifli menceritakan bagaimana dia mendapat telur yang mempunyai kulit berkedut iaitu semasa memilih telur untuk dibelinya di sebuah kedai di pekan Sungai Yan di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia ke kedai terbabit untuk membeli telur dan kemudiannya diminta oleh pemilik kedai untuk memilih telur yang mahu dibeli sendiri dari tempat menyimpan telur di kedai terbabit.

“Semasa memilih telur yang mahu dibeli, saya terpandang sebiji telur di dalam tempat menyimpan telur itu yang berlainan daripada telur-telur lain. Saya kemudiannya mengambilnya dan melihat dengan lebih dekat.

“Saya terkejut apabila mendapati kulit telur itu berkedut seakan-akan kulit belakang tangan yang berurat dan terus memasukkannya ke dalam plastik yang disediakan untuk dibeli bersama telur lain,” katanya.

Apabila ditanya kepadanya berkemungkinan telur terbabit merupakan telur palsu yang pernah dihebohkan media tahun lalu, Zulkifli berkata, dia yakin telur itu telur asli memandangkan ianya berat, sama seperti telur-telur lain.

“Saya akan terus menyimpan telur ini sebagai koleksi peribadi saya untuk ditunjukkan kepada generasi akan datang mengenai keunikannya,” katanya.

kredit : Sinarharian.com.my

Info Gallery -
Pelik ker? Menemui telur berkedut adalah kebiasaan bagi penternak ayam telur
 

© 2010 - 2011 | Created by Info Gallery - Stories of The Worlds
Memaparkan pelbagai informasi terkini daripada sumber rencana terpilih dari dalam dan luar negara.
Kosmo Online | mStar Online | Utusan Malaysia Online | Berita Harian Online | myMetro
This work by Info Gallery is licensed under a Creative Commons Attribution 3.0 Unported License.