
PETALING JAYA 16 Feb. - Penetapan harga gas baharu dijangka dibentangkan ke Kabinet Mac ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.
Fah Kui berkata, kementerian itu dan beberapa pihak sedang dalam proses merangka kerja penetapan harga bahan bakar tersebut.
''Ia belum disiapkan lagi dan saya tidak boleh membuat (sebarang) jangkaan,'' katanya selepas merasmikan Pusat Panggilan Utama TNB (TNB Careline) di sini hari ini.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.
TNB Careline merupakan pusat panggilan utama TNB hasil kerjasama dengan pusat pengurusan panggilan (Call Management Centre-CMC) dan One Stop Engagement Centre (OSEC).
CMC yang ditubuhkan pada 1996 bagi menguruskan panggilan daripada pelanggan TNB untuk melaporkan mengenai insiden gangguan bekalan elektrik dan kerosakan lampu jalan.
OSEC pula ditubuhkan pada Mei 2010 bagi menguruskan pertanyaan dan aduan pelanggan berkaitan bil dan akaun TNB.
Kedua-duanya iaitu CMC dan OSEC beroperasi setiap hari, 24 jam.
Ketika ditanya mengenai cadangan untuk membina loji tenaga di Bangladesh, Che Khalib menambah, pihaknya dalam proses menilai dan mengintai peluang di negara itu.
Setakat ini, katanya, tiada pengesahan mengenai perkara itu.
''Kami perlu berjumpa dengan pihak berkuasa Bangladesh terlebih dan melihat sejauh mana syarikat-syarikat Malaysia boleh melabur di negara berkenaan,'' kata beliau
kredit : Utusan.com.my
Info Gallery - Harapnya tidak membebankan para pengguna yang sedia terhimpit dengan harga barang yang makin melambung
