31 Disember 2010

Terjun Guna Sayap Berteknologi Tinggi



JEB CORLISS (dalam bulatan) terbang seperti Batman apabila dia menggunakan sayap berteknologi tinggi dari sebuah gunung di Switzerland.

STOCKHOLM, Sweden - Seorang penerjun profesional, Jeb Corliss terbang seperti watak Batman dengan menggunakan sayap berteknologi tinggi pada ketinggian 1,676 meter.

Corliss yang berumur 34 tahun dari California melakukan aksi itu dengan kelajuan 144.84 kilometer sejam di sebuah lokasi di Switzerland baru-baru ini.

Dia mendarat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Corliss pernah terjun dari menara Eiffel di Paris, Perancis dan dari gunung Corcovado di Taman Negara Tijuca yang menempatkan patung Christ the Redeemer di Rio de Janeiro, Brazil pada ketinggian 731.52 meter..

Jadi Gergasi Asia Untuk Ke Piala Dunia



PASUKAN Malaysia perlu menguasai pentas bola sepak Asia jika berhasrat untuk melayakkan diri ke Piala Dunia.

KUALA LUMPUR - "Cabaran kita selepas ini adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu pasukan bola sepak gergasi di Asia dan jika itu menjadi kenyataan, tidak mustahil impian beraksi di Piala Dunia satu hari nanti mampu direalisasikan."

Mungkin kenyataan tersebut kelihatan terlalu bercita-cita tinggi, namun bagi penyerang skuad bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha, hasrat itu tidak mustahil untuk dicapai asal sahaja setiap anggota dalam pasu- kan Harimau Malaya sanggup bekerja keras ke arah itu.

Norshahrul yang memainkan watak penting dalam kejayaan Malaysia mencatat sejarah memenangi Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertama sejak 14 tahun lalu menjelaskan, impian besar untuk layak ke Piala Dunia mampu dicapai sekiranya skuad negara dapat menguasai saingan di peringkat Asia.

Begitupun, penyerang Kelantan berusia 24 tahun itu sedar untuk merealisasikan impian menjadi gergasi Asia dan beraksi di pentas Piala Dunia, skuad negara perlu mempunyai sikap optimis dalam diri mereka selain mengharungi banyak perlawanan antarabangsa yang kompetitif dan berkualiti..

Sambutan Hebat Untuk Wira Negara



MOHD. SAFEE (kiri) dan Amar Rohidan menunjukkan Piala Suzuki AFF 2010 di dalam bas kepada peminat di KLIA, Sepang.

SEPANG - Suasana di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sana umpama pesta petang semalam apabila lebih 3,000 peminat menyambut ketibaan skuad bola sepak Malaysia yang membawa pulang Piala Suzuki AFF 2010.

Mereka sudah berkumpul di situ sejak pukul 2 petang dan tidak berganjak walaupun menyedari jadual ketibaan pesawat Penerbangan Malaysia MH710 yang membawa pulang skuad negara ditunda sejam.

Nyanyian dan laungan kata-kata semangat 'Malaysia Boleh' bergemuruh di kawasan itu sehingga menarik perhatian ramai pelancong asing yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama para penyokong Malaysia.

Biarpun jumlah yang hadir ramai, para peminat yang kebanyakannya ahli kelab 'Ultras Malaya' tetap berhimpun dengan aman dan memudahkan tugas kira-kira 50 anggota pasukan keselamatan yang membuat kawalan di situ.

Selepas hampir dua jam menunggu, mereka akhirnya bersorak melihat kemunculan skuad negara bersama jurulatih, K. Rajagobal yang berjalan keluar dari balai ketibaan KLIA..

Pelbagai Acara Sambut Tahun Baru 2011



KONSERT anjuran Kumpulan AmBank bakal memeriahkan sambutan tahun baru 2011 di Dataran Merdeka malam ini.

KUALA LUMPUR - Sambutan ambang tahun baru 2011 malam ini dijangka meriah dengan pelbagai acara menarik diatur di bandar-bandar utama di seluruh negara.

Di Kuala Lumpur, Kumpulan AmBank dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekali lagi menganjurkan Konsert Tahun Baru di Dataran Merdeka bermula pukul 8 malam.

Antara artis yang bakal memeriahkan konsert itu ialah Amy Search, M. Nasir, Datuk David Arumugam, Ramlah Ram, Pop Shuvit, Mizz Nina dan beberapa penyanyi terkenal lain.

Konsert yang dijangka dihadiri oleh 80,000 pengunjung itu bakal disiarkan secara langsung melalui RTM2.

Pada program itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan ucapan sebelum berlangsungnya pelbagai persembahan kebudayaan dan nyanyian..

Selebriti Indonesia Terpikat Dengan Bintang Bola Sepak Malaysia



RAHMA AZHARI.

JAKARTA - Bintang sinetron dan model Indonesia, Rahma Azhari sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila dia mengakui terpikat dengan penyerang skuad bola sepak Malaysia yang dikenalinya sebagai Safee.

Rahma, 29, atau nama sebenarnya, Rahma Syahidah Azhari, merupakan adik kepada aktres popular Indonesia, Ayu Azhari, 41.

Dia mencurahkan isi hatinya itu di akaun Twitter miliknya sebelum perlawanan akhir antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada Rabu lalu.

"Sasaran saya seterusnya ialah SAFEE..," katanya.

Penyerang Malaysia yang dimaksudkan oleh bintang sinetron itu dipercayai ialah Mohd. Safee Bin Mohd. Sali.

Rahma dalam komennya di Twitter memberitahu, dia mahu keluar menonton wayang bersama Safee.

Sebelum ini, Rahma telah beberapa kali mencetuskan kontroversi apabila gambarnya dalam keadaan intim dengan beberapa lelaki tersebar di Internet..

Hiburan Sensasi 2010



TIADA lagi hubungan ’teman tapi mesra’ antara Fahrin dan Linda.

TIDAK sah dunia glamor hiburan jika tiada elemen sensasi dan kontroversi. Tahun 2010 yang sudah sampai ke penghujungnya juga tiada pengecualian.

Sepanjang tempoh 365 hari tahun 2010 ini, sebilangan figura daripada kalangan karyawan hiburan tanah air muncul dengan tagline ‘sensasi dan kontroversi’.

Bukan hanya tercetus isu berebut cinta, bercerai-berai tetapi melarat kepada saman menyaman, terbabit dengan foto tidak senonoh di Internet, ditahan di penjara, malah ada yang mendakwa menjadi mangsa konspirasi.

Tirai kontroversi 2010 dibuka dengan kisah pasangan selebriti yang pernah mengakui mereka sekadar ‘teman tapi mesra’, Linda Onn dan Fahrin Ahmad yang kemudian mencetuskan episod ‘drama’ saman menyaman selepas hubungan mereka berakhir.

Selepas itu, umum dikejutkan dengan kisah Juara Akademi Fantasia musim ketiga, Mawi yang turut terkena tempias apabila dikatakan berkahwin kali kedua dengan seorang gadis dari Temerloh, Pahang.

Begitu juga dengan pelakon terkenal, Erra Fazira yang tidak terkecuali digosipkan dengan kes cerai..



SAIFUL APEK tidak terkecuali meringkuk di lokap gara-gara dakwaan terbabit dengan penggunaan najis dadah.

Beberapa karyawan hiburan tanah air turut dirundung malang apabila terpaksa meringkuk dalam penjara termasuklah anak aktres Azean Irdawaty iaitu Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, vokalis kumpulan XPDC, Mael, aktor Badrul Muhayat, pelakon komedi popular Saiful Apek dan paling mengejutkan ialah penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman.

Kosmo! paparkan sorotan figura dunia hiburan tempatan paling sensasi dan kontroversi sepanjang 2010.

Fahrin saman Linda Onn.

PADA tarikh 23 Januari 2010, dunia hiburan tempatan kecoh apabila pelakon kacak berusia 31 tahun, Fahrin Ahmad nekad mahu menyaman bekas teman wanitanya, penyampai radio Linda Onn atas dakwaan memburukkan namanya dengan menuduh dirinya seorang lelaki kaki pukul.

Fahrin mendakwa, dia sangat kecewa apabila Linda, 33, membuat kenyataan bahawa dirinya panas baran dan cepat naik tangan sehingga memberi kesan buruk terhadap kerjayanya sebagai seorang pelakon dan duta produk.

Menurut Fahrin, situasi lebih memburukkan keadaan apabila Linda juga bersekongkol dengan pelakon Scha Al-Yahya yang juga pernah rapat dengan Fahrin untuk menabur fitnah ke atas dirinya.

Fahrin kemudian menarik kembali ugutan saman tersebut dan mahu menyelesaikannya di luar mahkamah selepas mendapat nasihat daripada Presiden Seniman, Harun Salim Bachik..



‘Drama’ Benjy ditahan polis.

MENJADI sebuah kisah sensasi yang cukup mengejutkan apabila pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy yang merupakan anak kepada seniwati Azean Irdawaty ditahan polis kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah pada 12 Mac 2010.

Pelakon berkenaan bersama teman wanitanya ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung penemuan sejumlah dadah di sebuah kondominium. Polis menemui 800 gram kokain bernilai RM650,000 dan 1.4 gram syabu bernilai hampir RM2,000 di kondominium tersebut.

‘Drama’ berlaku apabila Benjy yang dibebaskan secara jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 8 April 2010 ditahan semula lima minit sejurus pembayaran tersebut dilakukan.

Kali ini Benjy ditahan atas tuduhan memiliki syabu jenis metafetamin seberat 0.24 gram. Kesalahan itu didakwa dilakukan di APM, A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B, Persimpangan Jalan Segambut.

Kini Benjy ditempatkan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Muar, Johor selama dua tahun setelah Kementerian Dalam Negeri mengarahkan pelakon tersebut ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas - LLPK) 1985..



ADA segelintir pihak tidak berpuas hati dengan kemenangan Syamsul Yusof pada FFM23 dalam kategori Pengarah Terbaik.

Kecoh keputusan Festival Filem Malaysia ke-23.

FESTIVAL Filem Malaysia ke-23 (FFM 23) yang berlangsung pada 25 Oktober 2010 lalu membawa tuah kepada dua buah filem iaitu Magika yang meraih anugerah Filem Terbaik serta Syamsul Yusof, 26, yang merangkul anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem Evolusi KL Drift 2.

Namun ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan mengkritik keputusan malam tersebut. Paling lantang bersuara adalah pengarah Mamat Khalid kerana filemnya, Estet yang dijangka menang akhirnya tumpas kepada filem Magika arahan Edry Abdul Halim.

Lebih hangat lagi apabila Mamat juga mengancam untuk tidak lagi menyertai festival yang sama pada masa akan datang. Ujarnya, dia hanya akan menghantar penyertaan sekiranya panel juri diumumkan terlebih dahulu..

Perkahwinan dan Perpisahan 2010



PERKAHWINAN Jimmy Shanley dan Nursuhaila Eliani diraikan menerusi majlis yang gilang gemilang dan mewah.

JENDELA tahun 2010 disingkap dengan pelbagai momen indah yang menyaksikan penyatuan dua hati golongan selebriti bersama pilihan hati masing-masing .

Jika tahun lalu mencatat sekurang-kurangnya 27 ikatan perkahwinan termeterai di kalangan artis, tahun 2010 juga tidak kurang hebatnya dengan paparan kira-kira 22 majlis resepsi termasuk yang sederhana, glamor dan serba mewah.

Anak dara tunggal Chef Wan, Serina Redzuan, 27, menjadi artis pertama ke jenjang pelamin selepas sah menjadi isteri kepada Pengarah Eksekutif Football Focus Sdn. Bhd., Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010. Perkahwinan itu diserikan lagi dengan kelahiran cahaya mata pertama mereka, Tristan Tarees pada 13 September lalu.

Meskipun perkahwinan merupakan satu khabar gembira yang lazimnya dikongsi bersama peminat di seluruh negara, masih ada lagi ada artis yang memutuskan untuk merahsiakan momen bersejarah mereka.

Penyanyi malar segar, Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah, 45, menyembunyikan pernikahan ketiganya yang berlangsung di Narathiwat, Thailand bersama Faizal Sazali Zulkifli pada 30 April lalu sebelum berjaya dihidu media sekitar bulan Oktober lalu..



JUARA Sehati Berdansa musim ketiga, Sein dan Nana adalah pasangan yang tidak disangka-sangka bercerai.

Beberapa hari selepas pembongkaran kisah pernikahan Aishah, persandingan anak kepada penyanyi dangdut, Sheeda, Nor Razlinda Razli atau Bienda dengan pasangannya, Kamarul Zariman Abd. Rahman menimbulkan teka-teki mengenai tarikh pernikahan mereka.

Pelantun lagu Penantian berusia 25 tahun tersebut memberitahu, dia dan suaminya merahsiakan tarikh pernikahan mereka bagi menghormati pendirian keluarga kedua-dua belah pihak dan harus akur dengan permintaan mereka.

Turut merahsiakan perkahwinan ialah adik kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Siti Saerah. Siti Saerah, 27, bernikah secara rahsia dengan pasangannya, Saiful Anuar yang merupakan seorang ahli perniagaan kereta mewah dari Kuantan, Pahang pada 27 Oktober lalu.

Tahun 2010 melabuhkan tirai kisah ikatan perkahwinan artis pada majlis serba mewah dengan pernikahan dan persandingan tertutup antara hos program E! News Asia, Marion Rose Caunter Abdullah , 30, dengan usahawan muda, Ketua Pegawai Eksekutif Naza Kia, SM Nasaruddin Tan Sri SM Nasimuddin, 27, pada 17 Disember lalu selepas lima tahun menyulam cinta..

Model Paling Kurus Meninggal Dunia



ISABELLE CARO.

PARIS - Seorang model yang berkempen menentang anoreksia dengan beraksi bogel untuk satu kempen pengiklanan meninggal dunia semasa berumur 28 tahun, lapor akhbar Le Parisien semalam.

Model itu, Isabelle Caro yang terlibat dalam kempen No Anorexia pada 2007 yang diharamkan di Itali meninggal dunia pada 17 November lalu.

Namun, pihak keluarganya meminta kematian anak mereka dirahsiakan.

Punca kematian masih belum diketahui tetapi Caro menderita kerana anoreksia sejak berumur 12 tahun.

Menurut rakannya, seorang penyanyi Switzerland, Vincent Bigler, Caro sering ke hospital kerana masalah pernafasan.

Model itu mengejutkan industri fesyen apabila dia berbogel dengan menunjukkan rangka tubuhnya dalam satu kempen anjuran jurugambar Itali, Oliviero Toscani..

Pengasas Facebook di Bar Bangkok



GAMBAR menunjukkan Mark Zuckerberg (kiri) tiba untuk menghadiri majlis perkahwinan Naib Presiden Facebook, Chris Cox di sebuah restoran di tengah Bangkok pada Rabu lalu.

BANGKOK - Pengasas laman sosial Facebook yang anggaran kekayaannya sebanyak AS$7 bilion (RM21.6 bilion), Mark Zuckerberg dilihat memasuki sebuah bar di Bangkok bersama seorang rakan wanita pada Isnin lalu.

Seorang peminat filem The Social Network, Nattawat Samattadol memberitahu bahawa dia melihat Zuckerberg memasuki pub itu dengan memakai baju T, seluar jean dan selipar.

Filem The Social Network mengisahkan kehidupan Zuckerberg semasa dia mencipta laman Facebook.

Nattawat berkata, dia terlebih dahulu mencari gambar Zuckerberg di laman Google bagi memastikan lelaki yang dilihatnya itu merupakan pengasas Facebook sebelum menegurnya dengan bertanya: "Adakah kamu Mark Zuckerberg?"

Zuckerberg menjawab: "Ya. Tetapi kenapa tempat ini dipenuhi dengan ramai orang?"

Menurut Nattawat, seorang wanita kemudian datang ke arah Zuckerberg dan memberitahu pengasas Facebook itu bahawa tempat duduk dalam bar tersebut sudah penuh kerana terdapat persembahan band Room 36.

Zuckerberg kemudian keluar dari bar tersebut bersama rakan wanitanya itu.

Dia turut menghadiri majlis perkahwinan Naib Presiden Facebook, Chris Cox dengan seorang wanita Thailand di sebuah restoran di tengah Bangkok pada Rabu lalu.

Cox berkahwin dengan Visra Vichit-Vadakan yang merupakan anak pengasas bersama pembekal perkhidmatan Internet, CS Loxinfo PCL.

Bapa Visra, Vivatvong memberitahu akhbar Thailand bahawa Zuckerberg meminta dia merahsiakan kedatangannya ke Bangkok.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Zuckerberg kerana menghadiri majlis perkahwinan anak saya di Bangkok selama tiga hari. Kami tidak berbual berhubung perniagaan atau mengenai Facebook dan rangkaian sosial di Thailand semasa dia datang untuk menghadiri majlis perkahwinan," kata Vivatvong.

Menurutnya, Zuckerberg kelihatan seperti seorang lelaki yang mesra dan suka merendahkan diri.

"Dia tidak seperti yang digambarkan dalam filem The Social Network," katanya..

Jadi Bapa Pada Usia 94 Tahun



RAMAJIT Raghav duduk bersama isteri dan anaknya di sebuah kampung di bandar Kharkhoda, Haryana, India.

NEW DELHI - Seorang lelaki berusia 94 tahun, Ramajit Raghav mendakwa menjadi bapa tertua di dunia selepas dia memperoleh seorang anak hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Shakantula pada bulan lalu.

Raghav menetap di kampung Kharkhoda, Haryana yang terletak di utara India.

Dia berkata, anak lelakinya itu merupakan pemberian Tuhan kerana isterinya berumur dalam lingkungan awal 50-an.

Raghav menyimpan hasrat ingin mempunyai lebih ramai anak pada tahun depan.

Dia menjadi seorang ahli gusti semasa muda selain mendakwa masih bertenaga kerana diet yang diamalkannya.

"Diet harian saya ialah tiga liter susu, setengah kilogram badam selain setengah kilogram ghee (mentega)," katanya yang mendakwa berumur 100 tahun tetapi rekod pencen miliknya menunjukkan dia berusia 94 tahun.

Rekod bapa tertua di dunia ialah Nanu Ram dari India apabila dia memperoleh anak yang ke-22 semasa berusia 90 tahun pada 2007..

Lelaki Merompak Guna Busur Panah



RAKAMAN kamera litar tertutup menunjukkan seorang perompak mengacukan busur panah ke arah pemilik sebuah kedai (kiri) di Plymouth, Britain.

PLYMOUTH - Rakaman kamera video litar tertutup (CCTV) menunjukkan detik-detik cemas salah seorang perompak yang mengacukan busur panah ke arah seorang pemilik sebuah kedai.

"Mereka mahukan wang dari mesin tunai dan rokok di belakang kaunter kedai itu," kata seorang jurucakap polis tempatan.

Seorang rakannya itu mengambil sejumlah wang tunai dan pelbagai jenis rokok dalam kes rompakan pada waktu pagi selepas kedai tersebut dibuka di sana, kelmarin.

"Pemilik kedai itu hanya mengalami cedera ringan," kata seorang jurucakap polis tempatan.

Kedua-dua perompak itu tidak memakai topeng dan polis menyifatkan mereka sebagai amat bahaya kepada orang awam..

Suami Ancam Sebar Video Seks Isteri



LILY SHANG.

NEW YORK - Seorang suami, David Gleen Rucker membuat ancaman untuk mendedahkan video seks isterinya, Lily Shang di Internet jika mereka gagal mencapai kata sepakat berhubung pembahagian harta perceraian.

Pasangan itu berkahwin di Toronto, Kanada pada April tahun lalu namun Rucker memfailkan perceraian pada Oktober lalu.

Dalam dokumen mahkamah yang difailkan di sebuah mahkamah di Manhattan di sana, Lily menyatakan suaminya enggan menyerahkan rakaman video itu atau memusnahkannya.

Menurut dokumen tersebut, suami Lily membuat ancaman itu jika dia tidak bersetuju dengan penyelesaian kewangan dalam pembahagian harta perceraian.

Rucker menyatakan dia akan membuat suntingan supaya pengguna Internet cuma dapat melihat aksi isterinya melakukan perlakuan seks..

DBKL Roboh 262 Bilik Pelacuran



BEBERAPA penguat kuasa DBKL merobohkan tempat pelacuran di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 262 buah bilik kecil yang selama ini menjadi tempat untuk pelacur melayan pelanggan di Jalan Petaling dan Jalan Silang dirobohkan semalam.

Operasi besar-besaran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu diadakan bagi membasmi kegiatan pelacuran yang menjadikan dua kawasan itu sebagai sarang maksiat.

Timbalan Penguasa Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Tanda Usoh memberitahu, pihaknya telah melakukan operasi seumpama itu sebanyak sembilan kali, namun pelacur masih terus beroperasi di kawasan berkenaan.

Katanya, dalam operasi semalam, sebanyak 225 bilik yang dibina di dalam 10 premis bangunan di Jalan Petaling telah dimusnahkan manakala di Jalan Silang pula melibatkan 37 bilik di sebuah premis dua tingkat.

"Kita bertindak merobohkan semua penghadang bilik yang diperbuat daripada papan lapis. Pelacur tidak tinggal di situ sebaliknya menggunakan bilik-bilik itu sebagai lokasi pelacuran sahaja," katanya ketika ditemui selepas operasi itu semalam..

Guru Lucah Dipenjara 20 Bulan Rangsang Murid



MAHKAMAH Tinggi Seremban semalam mengekalkan hukuman penjara 20 bulan terhadap Mohd. Harith yang didapati bersalah mencabul muridnya.

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sana semalam mengekalkan hukuman penjara 20 bulan terhadap seorang guru penolong kanan sebuah sekolah rendah yang didapati bersalah melakukan kelucahan melampau terhadap murid lelakinya tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Majistret telah membuat keputusan yang tepat dan menyeluruh.

Menurut Ahmad Nasfy, dalam kes tersebut ada saksi yang melihat kelakuan tertuduh selain pihak pendakwa mempunyai beberapa keterangan sokongan daripada saksi-saksi lain.

Tertuduh, Mohd. Harith Mohd. Nor, 42, didapati bersalah merangsang seorang murid lelaki yang ketika itu berusia 11 tahun untuk melakukan kelucahan melampau di dalam pejabatnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Wawasan Seremban 2 di sini pada November dan Disember 2007.

Bapa kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun itu didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan sebatan jika bersabit kesalahan..

Pemilik Kedai Ditahan Jual Video Lucah



KEDAI telefon bimbit di Kompleks Kota Raya, Jalan Silang, Kuala Lumpur yang diserbu kerana disyaki menawarkan khidmat muat naik video seks kepada pelanggan.

KUALA LUMPUR - Kerana mahu mengaut keuntungan lebih, seorang lelaki yang menyediakan perkhidmatan memuat naik video lucah dalam telefon bimbit menerima padah apabila dia ditahan polis dalam serbuan di pusat beli-belah Kompleks Kota Raya, Jalan Silang di sana kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 5 petang itu, sepasukan anggota polis daerah Dang Wangi menyerbu sebuah premis yang disyaki menawarkan perkhidmatan tidak bermoral tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Zulkarnain Abdul Rahman berkata, hasil serbuan itu polis menahan seorang lelaki yang merupakan pemilik kedai telefon bimbit tersebut.

"Bersama lelaki berusia 20-an itu, kita merampas barangan seperti komputer riba, telefon bimbit dan pemacu pena yang dipercayai digunakan untuk melakukan muat naik video lucah kepada pelanggan," katanya kepada wartawan semalam.

Menurut Mohd. Zulkarnain, serbuan tersebut dilakukan hasil maklumat daripada ruangan khidmat pesanan ringkas (SMS) media yang dihantar oleh seorang pengirim dan disiarkan oleh media pada 28 Disember lalu..

Lubang Maut Menunggu Mangsa



BAHAYA! Beginilah keadaan lubang berhampiran kawasan Pangsapuri Pandan Lakeview yang merisaukan penduduk Pangsapuri Pandan Lakeview.

AMPANG - Setiap hari kira-kira 3,000 penduduk Pangsapuri Pandan Lake View di sana tidur tidak lena kerana mengingatkan lubang besar berhampiran kawasan perumahan mereka.

Mereka bimbang kerana lubang yang berasal dari lubang kumbahan bersaiz seluas 46 meter persegi dan terletak di selekoh Jalan Perdana 5/1 itu hampir memakan mangsa baru-baru ini.

Presiden Persatuan Penduduk Pandan Perdana, Lim Ah Cai, 59, berkata, lubang itu pada mulanya kecil tetapi semakin hari ia semakin membesar.

"Keadaan lubang itu semakin besar sejak dua bulan lalu ekoran hujan lebat sehingga menyebabkan tanah di sekitar lubang mendap dan runtuh.

"Sebelum ini, ada kanak-kanak terjatuh tetapi nasib baik ia tidak melibatkan sebarang kematian. Lebih teruk, tanah runtuh di sekeliling kawasan tersebut menyebabkan kotak janakuasa TNB berhampiran tumbang, tiang lampu jalan senget dan pembetungan kumbahan perumahan di situ rosak," katanya kepada wartawan semalam..

Peniaga Cedera Ditetak 6 Perompak



ABDUL Razak cedera di kepala dan tangan akibat ditetak penyamun di Kampung Pedas Hilir, Rembau.

REMBAU - "Walaupun badan saya ditetak berkali-kali namun saya tetap kerahkan seluruh tenaga melawan enam perompak yang bersenjatakan parang.

"Namun, saya rebah dan tidak berdaya lagi kerana kehilangan darah yang banyak selain cedera di kepala, muka dan tangan kanan."

Itulah detik-detik cemas yang dialami seorang peniaga getah, Abdul Razak Ahmad, 56, yang menjadi mangsa rompak di kediamannya di Kampung Pedas Hilir semalam.

Abdul Razak berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama isterinya sebelum terjaga akibat terdengar bunyi bising kira-kira pukul 3 pagi.

Katanya, dia yang mengesyaki sesuatu terus mencapai selaras senapang patah di dalam almari tetapi belum sempat dia mengisi peluru kumpulan penjenayah berkenaan terus masuk ke dalam biliknya..

Tiga Bersaudara Mati Lemas



PENGUNJUNG dinasihatkan supaya berhati-hati ketika mandi di kawasan air terjun Hutan Lipur Sungai Sendat, Hulu Yam Baru kerana airnya yang deras dan berpusar.

KUALA KUBU BHARU - Keseronokan lapan bersaudara yang datang dari Klang untuk mandi-manda dan berkelah di kawasan air terjun Hutan Lipur Sungai Sendat di Hulu Yam Baru, berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka mati lemas semalam.

Tew Chew Ying, 13, pela- jar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah; Tan Ching Wee, 10, pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Pandamaran, Klang dan Koko Soo Dee, 19, mati ketika mandi di kawasan kolam yang mempunyai kedalaman 3.3 meter pada pukul 1 petang.

Difahamkan, ketiga-tiga mereka lemas apabila disedut oleh pusaran air kira-kira setengah jam selepas mereka mula mandi di situ.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, sebaik menyedari kejadian itu, ibu salah seorang mangsa dengan dibantu seorang lelaki cuba menyelamatkan ketiga-tiga mangsa tetapi gagal..

30 Disember 2010

Saintis Buktikan Kelemahan Nombor PIN



GAJET yang dicipta Omar Chaodary bagi menipu mesin pengeluaran wang automatik.

CAMBRIDGE - Bank-bank di Britain didakwa cuba menyembunyikan kelemahan nombor pengenalan peribadi (PIN) yang terdapat pada kad kredit dan debit.

Dakwaan itu dibuat selepas seorang saintis Universiti Cambridge, Omar Chaodary membuat pendedahan mengenai kelemahan tersebut dalam tesis sarjana falsafah.

Sistem cip dan PIN yang diperkenalkan pada 2006, bertujuan untuk mengurangkan penipuan kad kerana pencuri tidak dapat menggunakan kad yang dicuri tanpa mengetahui nombor PIN.

Namun, Omar mula mengkaji kelemahan sistem itu selepas ramai pengguna mengadu kad mereka dicuri dan nombor PIN mereka telah digunakan.

Sehingga kini, bank-bank di Britain mendakwa sistem keselamatan cip dan nombor PIN adalah kebal dan sukar untuk ditipu.

Bagaimanapun, Omar dalam penyelidikannya, telah mencipta satu gajet berharga semurah £20 (RM95) yang dapat menipu cip dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) supaya menerima kad kredit dan debit tanpa nombor PIN yang betul.

Peranti bersaiz kotak rokok itu disembunyikan dalam lengan baju semasa ia dilekatkan pada kad.

Apabila kad tersebut dimasukkan ke dalam mesin, ia menggunakan sistem elektronik bagi memastikan kad itu diterima.

Choudary berjaya membeli beberapa buku dan cakera padat (CD) berharga £50 (RM237) di Cambridge dengan menggunakan kad yang dipinjam dan alat yang dicipta itu bagi membuktikan kelemahan tersebut..

Aksi Kayak Jatuh Dari Air Terjun Tinggi



RAFA ORTIZ (dalam bulatan) jatuh bersama kayak dari Air Terjun Big Banana, Rio Alseseca, Mexico baru-baru ini.

RIO ALSESECA, Mexico - Legenda pendayung kayak, Rafa Ortiz hanya mengalami luka selepas kayaknya terjunam dari ketinggian 39.01 meter di Air Terjun Big Banana di sana.

Dia memerlukan tiga jahitan pada lukanya tetapi dia merupakan orang pertama di dunia yang berjaya membuat aksi tersebut di air terjun itu.

Seorang jurugambar dari Denver, Amerika Syarikat, Lucas Gilman merakamkan aksi Ortiz itu.

Ortiz dikenali kerana kehebatannya dalam sukan ekstrem.

Dalam aksi itu, kayak Ortiz muncul di permukaan selepas ia berada di dalam air kerana impak jatuh dari tempat tinggi..

Lelaki Berusia 51 Tahun Mandi Dalam Ais



KETULAN ais diletakkan di sekeliling tubuh Wim Hof di Hong Kong.

HONG KONG - Pemegang sembilan rekod dunia mandi dalam ais, Wim Hof dari Belanda membuat promosi di sana semalam.

Hof yang berusia 51 tahun menunjukkan kemahirannya dengan mandi dalam ais dengan tujuan untuk membangkitkan kesedaran mengenai pemanasan global.

Dalam aksinya itu, dia berendam di dalam tangki kaca yang dipenuhi dengan ais..

Aksi Penyokong Indonesia di Atas Bumbung



GAMBAR yang disiar oleh akhbar KOMPAS.com semalam menunjukkan seorang penyokong Indonesia (dalam bulatan) berada di atas palang besi di bumbung Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

JAKARTA - Seorang penyokong Indonesia duduk di atas palang besi pada bumbung Stadium Utama Gelora Bung Karno di sana untuk menonton pusingan kedua perlawanan akhir Piala Suzuki AFF antara Malaysia dan Indonesia, lapor akhbar KOMPAS.com semalam.

Penyokong yang tidak diketahui identitinya itu beraksi seperti adi wira Spiderman apabila dia berjalan dari satu tiang ke tiang lain di atas bumbung stadium itu.

Sekilas pandang, dia dilihat membawa bendera Merah Putih Indonesia yang tertera nombor 4-0 yang bermaksud kemenangan skuad Indonesia.

Ketika perlawanan itu berlangsung semalam, Spiderman tersebut berkali-kali mengibarkan benderanya sebagai sokongan kepada pasukan bola sepak tanah airnya.

Aksi beraninya menarik perhatian orang ramai termasuk kumpulan kakitangan media kerana Spiderman itu duduk dekat ruang wartawan membuat liputan.

Dalam perlawanan akhir pusingan kedua itu, Malaysia tewas 1-2 kepada Indonesia.

Namun, pada pusingan pertama yang diadakan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad lalu, Malaysia menang 3-0 ke atas Indonesia.

Malaysia menang dengan agregat 4-2 sekali gus menjulang Piala Suzuki AFF buat pertama kali..

Penantian Selama 14 Tahun Berakhir



PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertama selepas menang dengan agregat 4-2 ke atas Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

JAKARTA - Setelah menanti selama 14 tahun, Malaysia akhirnya berjaya muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 menerusi agregat 4-2.

Biarpun tewas 1-2 kepada Indonesia pada final kedua di Stadium Utama Gelora Bung Karno di sana malam tadi, Malaysia telah menang 3-0 pada final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu.

Kejuaraan tersebut mengesahkan status Malaysia sebagai raja bola sepak Asia Tenggara setelah saingan peringkat bawah 23 tahun iaitu Sukan SEA turut dijuarai Malaysia di Laos pada 2009.

Kecemerlangan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan sepakan penalti kapten Indonesia, Firman Utina pada separuh masa pertama serta jaringan Mohd. Safee Mohd. Sali pada awal babak kedua menjadi detik pengubah perlawanan malam tadi.

Isu laser yang sering diperbesarkan Indonesia sebelum ini akhirnya terpalit kepada mereka sendiri apabila Khairul Fahmi tiga kali diganggu pancaran laser ke arah mukanya.

Ia bermula apabila Indonesia memperoleh sepakan sudut pertama pada minit kelapan diikuti ketika sepakan percuma pada minit ke-12 dan satu lagi sepakan sudut seminit kemudian.

Namun, Khairul Fahmi membuktikan dirinya tidak selembik penjaga gol Indonesia, Markus Harison yang 'alah' dengan pancaran laser ketika aksi final pertama di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Permainan hampir berubah menjadi milik Indonesia apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-18 setelah bola terkena tangan Sabre Mat Abu ketika berlaku pergelutan di depan pintu gol..

Malaysia Juara Piala Suzuki AFF 2010 Buat Kali Pertama



Pasukan Malaysia meraikan kejayaan gemilang merangkul Piala Suzuki AFF buat kali pertama selepas menewaskan Indonesia secara agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

JAKARTA - Buat julung kalinya, skuad bola sepak Malaysia berjaya merangkul gelaran juara sekali gus membawa balik piala kebanggaan apabila menang secara agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, pada 29 Desember 2010.

Bagaimana pun, skuad kendalian K.Rajagobal itu menerima serangan bertalu-talu daripada pasukan Garuda, namun barisan pertahanan cemerlang memainkan peranan mereka dalam menepis serangan ini.

Pasukan Indonesia nyaris mendapat gol pertama apabila pengadil memberi sepakan penalti selepas bola terkena tangan Mohd Sabree Mat Abu pada minit ke-18, namun sepakan yang dilakukan oleh kapten pasukan Garuda, Firman Utina berjaya diselamatkan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang bijak membaca pergerakan pemain tuan rumah itu..



Pemain Malaysia meraikan kejayaan Safee Sali menjaringkan gol awal ketika menentang Indonesia pada perlawan akhir kedua, Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karni, Jakarta malam tadi.

Kedua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan perlawanan lebih menarik selepas pasukan Indonesia lebih banyak mengatur serangan namun pujian sekali lagi harus diberi kepada penjaga gol negara, Khairul Fahmi kerana menyelamatkan gawang dengan percubaan berbahaya terutama sekali hantaran yang dilakukan pemain lincah Indonesia, Muhammad Ridwan.

Biarpun Malaysia jarang melakukan serangan, namun hantaran jauh Mohd Ashari Samsudin di sebelah kanan tepat kepada Mohd Safee Mohd Sali sekali gus membuat lorongan laju menggunakan kaki kirinya terus ke gawang lawan pada minit ke-53.

Gol penyamaan hadir pada minit ke-72 selepas Mohammad Nasuha merembat bola muntahan daripada penjaga gol Khairul Fahmi.

Namun pada babak akhir perlawanan, pemain pertahanan negara, Mohamad Muslim Ahmad silap membuat percaturan apabila cuba menyelamat bola dengan menanduk ke arah gol sendiri.

Perlawanan tamat dengan keputusan 1-2.

Sementara itu, kejayaan ini dianggap lebih manis apabila penyerang negara, Mohd Safee Mohd Sali turut dinobatkan penjaring terbanyak selepas mengumpul lima gol.

Manakala pemain terbaik perlawanan dimenangi oleh pemain tengah Indonesia, Firman Utina.

Pada perlawanan pusingan pertama yang berlangsung Ahad lalu, skuad Harimau Malaya ini telah menundukkan Indonesia 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil..

Najib Umum 31 Disember Cuti Umum Sempena Kejayaan Skuad Harimau Rangkul Piala Suzuki AFF

PETALING JAYA - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak malam tadi mengisytiharkan hari Jumaat, 31 Disember 2010, sebagai cuti umum bagi meraikan kejayaan sulung pasukan bola sepak kebangsaan pada kejohanan Piala Suzuki AFF 2010..

Pembuka Tirai Astro Oasis 2011



IZELAN (tengah) bersama Imam Muda Taufek (kanan) dan Rini AF.

ASTRO Oasis membuka tirai 2011 dengan memperkenalkan sebuah program kuiz kekeluargaan Islam berjudul Famili Sarjana bermula 1 Januari nanti pukul 7.30 malam.

Program 13 episod itu merupakan program berbentuk kuiz pertama berperanan memperkasakan institusi kekeluargaan Islam yang akan dikendalikan oleh dua pengacara baru iaitu Rini AF dan peserta Imam Muda, Mohd. Taufek Mohd. Noh.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, program ini membawa pendekatan berlainan berbanding program sedia ada.

Ini kerana ia akan membawa pendekatan perkongsian ilmu dalam keadaan santai dan hiburan ringan, tetapi mencabar peserta dengan pelbagai soalan yang berkaitan lima perkara utama yang terkandung dalam Rukun Islam.

“Ia bukan bertujuan untuk mengaibkan peserta yang tidak dapat menjawab tetapi berkongsi ilmu agama yang selama ini ada yang tidak memandang berat tentang perkara tersebut,” jelasnya.

Famili Saujana juga merupakan rancangan kuiz yang menyaksikan dua buah keluarga bersaing setiap minggu untuk menjawab soalan keagamaan meliputi lima perkara yang terkandung dalam Rukun Islam iaitu syahadah, solat, puasa, haji dan zakat.

Hadiah utama bagi pemenang ialah pakej umrah ke Tanah Suci dengan tajaan penuh disediakan seisi keluarga.

Menurutnya lagi, pemilihan kedua-dua pengacara ini adalah berdasarkan kelebihan kedua-dua selebriti yang menjadi ikon kepada masyarakat.

“Kita lihat keserasian antara Mohd. Taufek dan Rini, mampu menarik penonton untuk menonton rancangan ini memandangkan kedua-dua selebriti ini mempunyai pengikut tersendiri yang mana mampu menarik golongan muda untuk menonton rancangan berbentuk keagamaan ini,” katanya.

Program ini memerlukan kerjasama atau gabungan tiga orang ahli keluarga terdekat seperti ibu, bapa dan anak dan setiap keluarga akan bersaing dalam lapan saringan setiap minggu sebelum empat yang terbaik akan bersaing di peringkat separuh akhir.

Dua buah keluarga terbaik akan berjaya berentap di peringkat akhir sebelum sebuah keluarga dinobatkan sebagai Famili Sarjana..

Sein, Artis Terakhir Bercerai 2010



PENUTUP tahun 2010 dilengkapkan dengan berita perceraian penyanyi dan pelakon Syed Hussein Syed Mustafa atau Sein, 27, yang dikira mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini tiada sebarang petanda mengenai keretakan hubungan mereka.

Baik Sein mahu pun Nana, 26, kedua-duanya mengunci mulut mengenai punca perpisahan mereka setelah hidup bersama selama empat tahun dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy yang berusia setahun.

Sein yang ditemui selepas majlis Anugerah Skrin 2010 berakhir seperti sudah dapat menghidu soalan yang ingin diajukan kepadanya dan dengan terbuka meminta wartawan bertanya apa sahaja persoalan yang bermain di kepala.

Meskipun enggan membuka mulut tentang punca perceraian, Sein menjelaskan tiada lagi persefahaman antara mereka merupakan salah faktor perpisahan.

"Kami tidak dapat cari persefahaman, lebih baik berpisah. Tentang berapa lama hubungan kami bermasalah biarlah saya simpan. Itu sahaja yang boleh saya kongsi," ujar bekas anggota kumpulan Ruffedge itu minta difahami.

Disoal lagi mungkinkah wujud orang ketiga dalam hubungan mereka atau mungkin mereka juga mangsa badi program Sehati Berdansa memandangkan mereka merupakan pasangan ketujuh yang berpisah daripada program tersebut, Sein menjawab tenang:

"Jika wujud orang ketiga tidak mungkin kami akan berpisah dengan cara baik. Itu hanyalah gosip sahaja. Mengenai badi program Sehati Berdansa, perkara ini semua berlaku secara kebetulan..



BIARPUN berpisah, Sein dan bekas isterinya, Nana, tidak pernah berdendam.

"Saya tidak percaya mengenai badi kerana sebagai seorang Islam, saya percaya dengan ketentuan Allah. Perpisahan kami adalah menerusi perbincangan, setelah kedua-dua kami bersetuju untuk berpisah barulah perceraian itu berlaku," jelas juara program Sehati Berdansa musim ketiga itu lagi.

Hubungan masih baik.

Meskipun telah bercerai, hubungan Sein dengan bekas isteri masih baik seperti biasa. Malah, tidak berlaku perebutan hak penjagaan anak kerana kedua-duanya telah bersetuju untuk menjaga anak secara bersama.

"Saya dengan Nana masih lagi baik, kami masih berhubung melalui telefon. Tentang hak penjagaan anak, kami menjaga mereka bersama-sama. Saya bebas untuk berjumpa anak pada bila-bila masa.

"Baju yang saya pakai untuk majlis anugerah ini juga dipilih oleh Nana. Jadi, tidak timbul sebarang isu kami berdendam atau bermasam muka," luahnya.

Jika hubungannya dengan bekas isteri masih baik, mungkinkah ada kemungkinan yang mereka akan bersatu semula sebagai suami isteri? Kata Sein, perkara itu tidak mustahil untuk berlaku..



SEIN menafikan kewujudan insan ketiga sebagai punca perceraiannya.

"Saya kasihan anak-anak kerana mereka masih kecil, kami telah usahakan yang terbaik. Sebab itu kami tidak mahu perpisahan ini menjejaskan mereka.

"Untuk rujuk semula itu mungkin ada kerana jika itu kehendak Allah, ia tetap akan berlaku. Sebagai hamba, saya hanya mampu berdoa yang terbaik," ucapnya yang berpisah dengan talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada 8 Disember lalu.

Apabila disoal sudahkah dia bersedia untuk mencari pengganti teman hidupnya, diam seketika lalu Sein terus menggelengkan kepalanya.

"Saya tidak terfikir pun mahu cari pengganti kerana dalam fikiran saya sekarang ini hanyalah kerja dan anak-anak," tuturnya..

Lima Sekeluarga Diserang Api Misteri



ZAINAB melihat serangan api misteri yang berlaku di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu.

KOTA BHARU - Sebuah keluarga di Kampung Penambang Bunga Emas, dihantui dengan 'serangan' api misteri sejak empat hari lalu.

Lebih menyeramkan, gangguan tersebut bukan setakat kemunculan api tetapi keluarga terbabit turut menghadapi beberapa lagi gangguan aneh lain.

Antara kejadian aneh itu ialah duit hilang tetapi dipulangkan semula, tilam dipenuhi telur pecah dan hirisan bawang goreng bertaburan serta tong beras dituang sirap dan budu.

Penghuni rumah itu, Zainab Sulaiman, 73, memberitahu, beliau tinggal di rumah tersebut sejak 32 tahun lalu tetapi api misteri tersebut hanya muncul sejak Isnin lalu dan telah membakar lebih seratus pasang baju miliknya serta menantu dan cucu beliau selain beberapa dua buah tilam dan langsir juga turut terbakar secara tiba-tiba.

"Kira-kira pukul 11 pagi tiga hari lalu, saya terbau hangit seperti ada benda terbakar dan sebaik memasuki bilik, saya terkejut apabila bilik tersebut berasap dan beberapa pakaian di dalam almari terbakar sebelum mengeluarkannya dan memadamkan api.

"Sejak dari itu api tersebut banyak kali muncul dan membakar pakaian termasuklah hari ini (semalam) sahaja, sudah lebih lima kali ia muncul dan kami terpaksa berjaga-jaga sehingga tidak tidur pada waktu malam kerana bimbang berlaku kebakaran," katanya ketika ditemui..

Sistem Komputer JPJ Tergendala



Seorang calon ujian memandu bertanyakan mengenai sistem tergendala di sekolah memandu di MyEG Danau Kota, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Ribuan calon ujian memandu berkomputer Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara terpaksa ‘makan hati’ sejak tiga hari lalu ekoran sistem komputer ujian berkenaan mengalami masalah teknikal verifikasi dan pendaftaran calon.

Antara tempat yang terlibat dengan masalah tersebut ialah MyEG.com Sdn. Bhd. (MyEG), sebuah syarikat yang dilantik menjadi pusat ujian memandu berkomputer bagi semua sekolah memandu di negara ini.

Masalah itu menyebabkan calon lesen memandu termasuk mereka yang bekerja terpaksa berulang-alik ke pusat ujian atau membatalkan hasrat menjalani ujian berkomputer tersebut bagi mengelak urusan harian lain terjejas.

Turut menerima kesan adalah para guru sekolah memandu yang dipersalahkan ibu bapa calon yang tidak berpuas hati apabila anak mereka gagal menduduki ujian memandu berkomputer seperti yang dijanjikan.

Seorang wakil sekolah memandu di ibu negara, Wan Nurul Shahira Wan Ab. Rahman, 23, berkata, sistem ujian memandu berkomputer JPJ kendalian syarikat swasta yang dilantik kerajaan itu pasti akan tergendala pada setiap hujung tahun..

Sembelih Ayam Urat Tak Putus



Pekerja kilang penyembelihan ayam Jalan Kuching Serian membersihkan perut ayam sebelum dipasarkan di sekitar Kuching.

KUCHING - Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS) semalam memberi amaran kepada pusat sembelihan ayam di sana agar mematuhi peraturan yang ditetapkan jika tidak mahu sijil halal mereka ditarik balik.

Yang Dipertuanya, Datuk Putit Matzen berkata, setakat ini pihaknya menerusi Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah menggantung sijil halal sebuah pusat sembelihan ayam kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

"Jangan pandang ringan soal halal ini dan kita di MAIS dan JAIS akan sentiasa memastikan setiap pusat sembelihan ayam mematuhi piawaian yang telah digariskan," katanya kepada pemberita.

Beliau sebelum itu mengetuai pemeriksaan mengejut ke atas tiga pusat sembelihan ayam di sana dari 12 tengah malam hingga 3 pagi semalam..

VIP Dalang Perdagang Bayi



GAMBAR fail menunjukkan sebahagian daripada 23 individu yang direman selepas terlibat dalam sindiket penjualan bayi di Johor Bahru pada Mei 2008.

KUALA LUMPUR – Polis semalam mendedahkan siasatan terperinci pihaknya mendapati kebanyakan kes pemerdagangan orang terutamanya melibatkan penjualan bayi didalangi oleh individu berpengaruh dan berstatus tinggi.

Dalang kes tersebut merupakan golongan profesional dan ada yang bergelar Datuk.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin (gambar) berkata, pihaknya kini sedang giat mengumpul bukti untuk membawa dalang terlibat ke muka pengadilan berdasarkan pada serbuan di beberapa buah klinik yang menjalankan aktiviti tersebut.

Katanya, golongan tersebut berperanan sebagai orang tengah untuk urusan jual beli di antara pelanggan dan pembekal. Mereka turut menggunakan kuasa dan pengaruh untuk mendapat keuntungan secara haram.

“Siasatan akan diperketatkan lagi terutama dari segi bahan bukti. Kita tidak pilih bangsa, agama atau dari golongan beruniform atau tidak.

“Kita tidak mahu siasatan yang terburu-buru sebaliknya mementingkan kualiti,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam..

Suami Isteri Dihukum Gantung Edar Dadah

GEORGE TOWN - Sepasang suami isteri semalam dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sana setelah didapati bersalah atas dua tuduhan mengedar dan memiliki sejumlah 165.62 gram dadah jenis heroin dan morfin dua tahun lepas.

Hakim Nurmala Salim menjatuhi hukuman itu terhadap Shahrizal Said, 33, dan Zarimah Yusoff, 30, setelah mendapati pihak pembelaan kedua-dua tertuduh itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pasangan suami isteri yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu didapati memiliki dadah berkenaan dalam sebuah rumah pangsapuri beralamat di Block 5-6-18 Desa Riang Batu Uban pada pukul 3.45 petang 3 Februari 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika bersabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati..

Warga Emas Mati Dipukul



Jiran mengunjungi rumah Perumal (gambar kecil) yang dibunuh selepas disamun di Taman Gopeng Jaya, Ipoh.

GOPENG - Bukan sekadar disamun malah seorang warga emas turut dipukul sampai mati menggunakan besi paip oleh sekumpulan penjenayah yang memasuki rumah mangsa di Taman Gopeng Jaya di sana semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, semasa kejadian pada pukul 2.30 pagi hanya mangsa, V. Perumal, 67, dan isterinya yang berusia 60-an berada di rumah teres itu sebelum rumah pasangan itu diceroboh empat lelaki yang menutup muka masing-masing menggunakan tuala.

Dua daripada empat penceroboh itu bersenjatakan sebatang besi paip dan pisau.

"Perumal kemudian diikat kedua-dua belah kaki dan tangan manakala isteri Perumal pula diugut dengan sebilah pisau," kata beliau ketika dihubungi.

Menurut beliau, Perumal kemudian dipukul beberapa kali menggunakan batang besi paip selepas mangsa dipercayai enggan memberi kerjasama untuk menyerahkan barang kemas kepada penjenayah itu..

Mengaku Bunuh Pelacur Mencuri Wang



HASSAN MALIK (tengah) ditangkap polis kelmarin atas dakwaan membunuh seorang pelacur di New York.

NEW YORK - Seorang lelaki berusia 55 tahun, Hassan Malik mengaku membunuh seorang pelacur, Betty Williams dengan menggunakan kuali dan wayar elektrik.

Menurut sumber penguat kuasa undang-undang, Hassan mengaku melakukan perbuatan itu selepas pelacur yang dilanggannya didapati mencuri wang di apartmennya.

Dia ditangkap tengah hari kelmarin dan ditahan tanpa dibenarkan ikat jamin.

Sebelum ini rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan seorang lelaki membawa sebuah beg yang mengandungi mayat pelacur itu di sebatang jalan raya di sini pada 22 Disember lalu.

Selepas, gambar CCTV itu disiarkan media, Hassan ditangkap polis.

Menurut pengakuan Hassan, dia memukul Williams dua kali dengan kuali setelah wanita itu memukulnya terlebih dahulu.

Selepas memukulnya, lelaki itu menjerut leher pelacur tersebut dengan menggunakan wayar elektrik menyebabkan dia mati..

Final Piala Suzuki AFF 2010 - Malaysia Juara Dengan Agregat 4-2

JAKARTA - Malaysia berjaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 mengalahkan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia.

Kemenangan Malaysia itu diperoleh selepas berjaya mengatasi Skuad Garuda dengan agregat 4-2.

Pada perlawanan malam tadi, Malaysia memperoleh gol pertama melalui Safee Salee pada minit ke-54 saingan separuh masa pertama, manakala Indonesia berjaya mendapat satu gol hasil sumbangan Mohammad Nasuha (m-72) dan gol sendiri pemain Malaysia, Mohamad Muslim Ahmad (m-88).

Paling menarik malam tadi, sepakan penalti Firman Utina berjaya dihentikan oleh penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Terdahulu pada aksi peringkat pertama perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia menang 3-0..

p/s: All the best.. Tahniah MALAYSIA !!

Final Piala Suzuki AFF 2010 - Kedudukan Semasa Perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno

JAKARTA - Kedudukan masih terikat 0-0 pada aksi separuh masa pertama perlawanan akhir peringkat kedua Piala Suzuki AFF antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarata, Indonesia.

Perlawanan yang lebih memihak kepada Indonesia itu turut menyaksikan kecemerlangan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat berjaya menghalang sepakan penalti pemain Indonesia, Firman Utina.

Malaysia mendapat gol pertama 1-0 hasil jaringan cantik Safee Sali pada minit ke-55 dalam perlawanan final kedua Piala Suzuki AFF 2010.

Pemain Indonesia, Mohammad Nasuha kemudian berjaya menjaringkan gol penyamaan 1-1.

Setelah itu, Indonesia memperoleh gol kedua 1-2 melalui jaringan gol sendiri oleh pemain Malaysia, Mohamad Muslim Ahmad.

Bagaimanapun, dalam perlawanan final pertama di Kuala Lumpur 26 Disember, pasukan Malaysia menang selesa ke atas Indonesia dengan keputusan 3-0..

p/s: Malaysia tetap juara dengan Agregat 4-2 walaupun tewas 1-2 di Stadium Gelora Bung Karno.. Tahniah MALAYSIA !!

29 Disember 2010

200 Penyokong Malaysia Menonton Dalam Protes Dari Kedutaan di Jakarta

JAKARTA – Kecewa dengan lokasi tempat duduk dalam Stadium Gelora Bung Karno serta faktor risiko keselamatan, antara 150 hingga 200 penyokong Malaysia malam tadi menonton dalam protes perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2010 Malaysia-Indonesia di layar besar di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di sana malam tadi.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor, Mohd Nasir Yunus, 55, yang mengetuai rombongan penyokong pasukan bola sepak Malaysia, berkata, kumpulan penyokong Malaysia yang tidak ramai jumlahnya telah menempah tiket di tempat duduk VIP, tetapi mereka diberikan tempat duduk di belakang gawang gol di pintu dua.

Mereka juga diletakkan di tengah-tengah para penyokong Indonesia dan berasa tidak selamat untuk berada dalam stadium untuk menonton perlawanan bagi menyokong pasukan Malaysia.

"Kami amat kesal sekali. Kami berasa kami telah dianaktirikan, kami disisihkan dan tidak diberikan keadilan sewajarnya.

"Setelah mengambil kira faktor keselamatan dan perbincangan dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia serta persetujuan para anggota rombongan, kita telah mengambil keputusan untuk menonton perlawanan ini dalam protes di Kedutaan Besar Malaysia,” katanya ketika ditemui di Dewan Serba Guna Kedutaan Besar Malaysia di sana..

Cahaya Misteri Warna Oren di Langit Napier



CAHAYA ganjil berwarna oren muncul di langit Napier, Taranaki dan Christchurch di New Zealand pada Ahad lalu.

CHRISTCHURCH, New Zealand - Satu cahaya ganjil berwarna oren dan merah muncul di langit Napier, Taranaki dan Christchurch, lapor akhbar dalam talian stuff.co.nz semalam.

Laporan kemunculan imej itu pada hari kedua selepas Krismas mencetuskan misteri sehingga terdapat spekulasi bahawa ia mungkin objek terbang tidak dikenali (UFO).

Bagaimanapun, Persatuan Astronomi Canterbury yakin bahawa ia merupakan cahaya dari satelit.

Di Hawara, Allan White dan keluarganya mengesan cahaya ganjil itu pada pukul 9.40 malam waktu tempatan Ahad lalu.

Mereka melihat imej ganjil itu selama lima minit dan ia kemudian hilang.

"Saya menganggap ia merupakan satu cahaya oren yang cerah di langit dan cahaya itu mula bergerak ke arah kami," kata White.

Menurutnya, ramai orang yang melihat imej itu menganggapnya sebagai UFO. Beberapa saksi dilaporkan menyuluh ke arah cahaya itu semasa ia bergerak di langit sebelum lenyap lima minit kemudian..

Robot Jadi Cikgu Ajar Bahasa Inggeris



ROBOT digunakan untuk mengajar bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendha di Daegu, Korea Selatan.

SEOUL - Hampir 30 robot mula mengajar bahasa Inggeris kepada murid-murid sekolah rendah di bandar Daegu, Korea Selatan, kata beberapa pegawai semalam.

Robot yang diberi nama Engkey itu dicipta oleh Institut Teknologi Sains mula mengajar kelmarin di 21 buah sekolah di bandar Daegu.

Sebanyak 29 buah robot setinggi satu meter yang mempunyai panel televisyen di muka bergerak di sekitar bilik darjah semasa mengajar murid-murid.

Robot itu membaca buku untuk murid-murid dan menari dengan menggoyangkan kepala dan tangannya.

Ia turut dikawal dengan menggunakan alat kawalan oleh guru-guru yang mengajar bahasa Inggeris dari Filipina.

Guru-guru itu boleh melihat dan mendengar suara murid-murid melalui sistem alat kawalan jauh.

"Gaji guru-guru yang berpendidikan tinggi dari Filipina adalah lebih murah daripada rakan-rakan sejawatan mereka dari negara lain," kata seorang saintis kanan institut tersebut, Sagong Seong-dae yang menjelaskan kenapa guru dari negara itu digunakan..

Kepala Anjing Tersangkut Lubang Dinding



KEPALA seekor anjing tersangkut di dalam lubang sebuah dinding di taman milik tuannya di Los Angeles.

LOS ANGELES - Kepala seekor anjing tersangkut pada sebuah dinding di taman rumah milik tuannya di sana kelmarin.

Kepala anjing berusia lapan bulan yang diberi nama Rebel itu tersangkut selepas ia mahu memeriksa lubang tersebut.

Nasibnya baik apabila seorang rakan tuannya mendengar salakan anjing tersebut dan menghubungi pihak berkuasa perkhidmatan haiwan.

Pegawai-pegawai sebuah agensi perkhidmatan haiwan yang tiba tersebut kemudian melipatkan telinga haiwan itu dan menolak muka Rebel ke belakang lubang tersebut.

Mereka mengambil masa kira-kira 30 minit untuk melepaskan haiwan berkenaan..

Ribut Sebelum Perlawanan Akhir di Indonesia



PENIAGA sibuk menjual barangan cenderamata Piala Suzuki AFF 2010 sebelum kawasan di sekitar Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta itu dilanda ribut.

JAKARTA - Cuaca mendung bertukar menjadi gelap di Stadium Utama Gelora Bung Karno yang menjadi venue perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF 2010 sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) kelmarin.

Akhbar Kompas melaporkan, angin kencang melanda stadium berkenaan dan kawasan sekitarnya beberapa minit kemudian.

Cuaca buruk yang melanda menyebabkan para peniaga yang menjual barangan cenderamata pertandingan di sekitar Stadium Utama Gelora Bung Karno tergesa-gesa membungkus barangan jualan masing-masing.

Terdapat peniaga-peniaga memungut barang jualan mereka yang terbang ditiup angin manakala penjual-penjual makanan pula menutup makanan mereka untuk mengelak daripada ditiup angin dan dibasahi hujan lebat yang turun tidak lama kemudian.

Sementara itu, di sebuah kantin di belakang Hotel Atlet Century berhampiran stadium berkenaan, angin kencang dan hujan lebat telah menyebabkan dua batang pokok tumbang.

Para pengunjung kantin yang tengah menjamu selera terkejut dan tergesa-gesa berlindung daripada tiupan angin kencang dan hujan lebat..

Sharbinee Akui Lebih Dulu Jadi Sasaran Pancaran Laser



WAJAH Sharbinee (kanan) yang disuluh dengan pancaran laser hijau selepas gawangnya bolos sewaktu Malaysia kalah 1-5 kepada Indonesia.

JAKARTA - "Memang ada (sinaran laser) pada perlawanan itu dihalakan ke arah saya. ''Kita kalah tetapi kita tidak menjadikan insiden yang menimpa saya itu punca kekalahan.''

Demikian pengakuan penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee Ramli, 24, terhadap insiden beliau menjadi mangsa pen sinaran laser dari penyokong bola sepak Indonesia ketika skuad negara tewas 1-5 dalam aksi sulung Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Utama Gelora Bung Karno pada 1 Disember lalu.

"Bagi saya ia tidak memberi kesan selagi kita tidak memandang ke arah pancaran laser itu,'' katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas sesi latihan ringan di pekarangan Hotel Sultan di sana semalam.

Isu pen sinaran laser itu menjadi hangat selepas penjaga gawang pasukan Indonesia, Markus Harison Rihihina membuat protes selepas mukanya terkena sinaran laser sehingga mendorong perlawanan akhir pertama antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil terhenti selama enam minit..

Penyanyi Indonesia Akui Malaysia Hebat



JAKARTA - Model yang juga penyanyi seksi Indonesia, Syahrini (gambar) mengakui Malaysia jauh lebih unggul untuk muncul pemenang pada pusingan pertama final Piala Suzuki AFF 2010 selepas menyaksikan sendiri kehebatan skuad Harimau Malaya itu menumbangkan pasukan Indonesia 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad lalu.

Syahrini, 27, yang pernah digossipkan kekasih penyanyi dan komposer terkemuka, Anang Hermasyah memberitahu portal berita detikhot.com kelmarin bahawa Malaysia menang kerana berjaya mengatur corak serangan yang lebih baik..

Pelakon 'Upik Abu dan Laura' Berhenti Berlakon



CINTA LAURA KIEHL.

JAKARTA - Bintang sinetron Upik Abu dan Laura, Cinta Laura Kiehl berhasrat untuk meninggalkan dunia hiburan kerana mahu berhijrah ke Amerika Syarikat.

Aktres berusia 17 tahun itu yang dilahirkan di Jerman menyatakan, dia merancang untuk menyambung pelajaran ke AS pada tahun depan.

"Saya cuma tinggal satu semester lagi. Jadi, setelah tamat sekolah tinggi, saya akan ke AS untuk melanjutkan pelajaran," kata Cinta dengan loghat Inggerisnya ketika diwawancara di sana semalam.

Menurutnya, keputusan berhijrah ke AS adalah muktamad.

"Saya baru mencari kolej yang sesuai di AS. Sekiranya diterima, barulah saya akan ke sana (AS)," ujarnya.

Kata Cinta, dia tetap dengan keputusan tersebut walaupun terpaksa meninggalkan karier lakonan yang dibinanya selama ini.

"Berlakon itu cuma hobi, walaupun saya pasti merindui peminat-peminat saya. Bagi saya pelajaran adalah lebih penting.

"Walaupun pada 2011 saya aktif dalam dunia hiburan, saya memilih untuk menyanyi dan tidak akan berlakon lagi," tambahnya.

Bapa Cinta, Michael Kiehl berasal dari Jerman manakala ibunya seorang peguam di Indonesia..

Projek 2011, Saif dan Kareena



MENGECAPI keindahan cinta bersama, Saif dan Kareena dikatakan bakal berkahwin pada tahun 2011.

AKTOR terkenal Bollywood, Saif Ali Khan begitu teruja menanti ketibaan Tahun Baru 2011 yang bakal menjelma dua hari lagi.

Ini kerana dia bersama teman wanitanya, aktres Kareena Kapoor bakal menyambut hari tersebut dalam suasana sejuk dan bersalji di resort ski Gstaad di Switzerland yang merupakan lokasi percutian kegemaran pasangan tersebut.

Saif mahu menikmati percutian sepenuhnya bersama kekasih hatinya itu sebelum kembali sibuk dengan karier lakonannya sepanjang 2011.

Perkahwinan.

Selepas tidak muncul dengan filem-filem baru lakonannya sepanjang 2010, satu demi satu filem lakonannya dijadualkan untuk tayangan 2011 seperti filem Agent Vinod, Aarakshan dan sebuah filem yang belum berjudul gandingannya bersama aktres Deepika Padukone.

Menurut Saif yang kali terakhir muncul pada 2009 menerusi filem Kurbaan, wajahnya tidak muncul di layar perak sepanjang 2010 memandangkan dia sangat sibuk menjalani penggambaran filem Agent Vinod yang menggandingkannya dengan Kareena.

Filem penuh aksi menyaksikan Saif kembali muncul dalam filem genre tersebut. "Agent Vinod merupakan sebuah filem yang agak mencabar, khususnya dari segi fizikal tetapi ia juga sangat menyeronokkan," ujarnya.

Dalam pada itu dia mengakui tetapi menyukai filem genre percintaan.

"Saya menggemari filem percintaan, tetapi saya juga penggemar filem aksi. Sebagai aktor, saya mengakui sangat tamak dan begitu berkehendak untuk muncul menerusi kedua-dua genre filem tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Saif turut mengulas mengenai spekulasi bahawa dia bakal berlakon dalam filem terbitan Vishal Bhardwaj yang kini bekerjasama dengan aktor Shah Rukh Khan..



SAIF dan Kareena gemar bercuti di Switzerland yang merupakan lokasi untuk mereka untuk lari seketika dari kesibukan karier mereka sebagai pelakon di Bollywood.

"Saya dan Vishal masih dalam rangka untuk menjalinkan kerjasama. Projek yang menggandingkan kami masih diteruskan," jelasnya.

Menyentuh pula mengenai spekulasi perkahwinannya dengan Kareena yang dikatakan bakal berlangsung pada 2011, tenang dia menjawab: "Saya dan Kareena sememangnya akan berkahwin suatu hari nanti, tetapi kami belum ada perancangan untuk itu buat masa ini.

"Kami akan bersedia untuk berkahwin apabila Kareena bersetuju untuk itu dan kami tidak akan menyembunyikan perkara baik itu daripada pengetahuan pihak media."

Salman, Shah Rukh, Imran Khan.

Sepertimana kekasihnya, Kareena Kapoor juga begitu teruja dengan kemunculan 2011. Ini kerana dia bakal bergandingan dalam filem dengan nama-nama besar Bollywood yang mempunyai nama keluarga Khan, termasuk dengan Saif sendiri.

Pada awal 2001, dia bakal memulakan penggambaran filem arahan Karan Johar, Short Term Shaadi bersama aktor muda, Imran Khan.

Selepas itu, Kareena bakal bergandingan dengan aktor Salman Khan untuk filem adaptasi filem Hollywood, Bodyguard yang bakal diarahkan oleh Atul Agnihotri.

Dia juga bakal bergandingan dengan Shah Rukh Khan menerusi filem Ra. One, selain bakal muncul dengan filem Agent Vinod di samping Saif yang juga memiliki nama keluarga Khan!

Bukan sahaja gemilang menerusi kemunculan di layar perak, 2011 juga menjanjikan sesuatu yang positif buat dirinya dalam bidang pengiklanan apabila bakal muncul dalam beberapa iklan mega bersama Salman dan Saif.

Cuma, dia tidak mempunyai sebarang projek baru bersama seorang lagi aktor Bollywood tersohor dari keluarga Khan iaitu Aamir Khan, tetapi mereka pernah bergandingan menerusi filem pecah panggung 2009, 3 Idiots..

Lelaki Berusia 110 Tahun Ingin Kahwin Lagi



AHMAD menunjukkan kad pengenalannya bagi membuktikan tarikh lahirnya.

ALOR SETAR - Anda mungkin terkejut apabila seorang warga emas yang berusia lebih 100 tahun masih berkeinginan untuk berkahwin bagi mengubat kesunyian.

Biarpun mata kabur dan pendengaran kurang baik, namun Ahmad Md. Isa, 110, yang lahir pada 7 Oktober 1909 masih sihat dan mengingati kisah silamnya kelihatan bertenaga seolah-olah umurnya 70 tahun.

Beliau memberitahu, walaupun dia dijaga dengan baik oleh anak perempuannya, Fatimah, 64, namun dia masih berhajat untuk berumah tangga kerana mahukan teman untuk berkongsi hidup.

"Saya terasa sunyi tanpa teman. Tidur malam berasa takut, jika ada teman tidaklah berasa sunyi boleh bersembang dan bercerita kisah suka dan duka..

400 Orang Bermalam Dalam Tren Akibat Ribut Salji



BEBERAPA orang tidur di dalam sebuah tren dekat Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di New York.

NEW YORK – Seramai 400 penumpang terpaksa bermalam di dalam sebuah tren di sana selepas rangkaian tren bawah tanah lumpuh akibat ribut salji yang melanda timur laut Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Salah seorang penumpang, Christopher Mullen, 42, berkata, dia terpaksa tidur dalam suhu sejuk melampau, tanpa makanan dan air selama lapan jam selepas menaki tren itu bersama teman wanitanya untuk pulang ke rumah mereka di sana.

Terdahulu, mereka pulang dari bercuti di Cancun, Mexico dengan menaiki penerbangan ke AS.

“Saya mengerekot dengan teman wanita saya untuk memanaskan badan. Saya menyesal kerana tidak membawa kot tebal. Saya tidak menyangka cuaca akan menjadi seburuk ini,” katanya.

Tren itu hanya bergerak semula pada pukul 9 pagi waktu tempatan semalam.

Sementara itu, kawasan timur laut AS semakin pulih daripada ribut salji yang merupakan antara terburuk pernah melanda negara itu sejak beberapa tahun lalu.

Salji tebal turut melanda negeri Maine, timur laut AS hingga ke Kanada di utara dan Carolina di selatan AS..
 

© 2010 - 2011 | Created by Info Gallery - Stories of The Worlds
Memaparkan pelbagai informasi terkini daripada sumber rencana terpilih dari dalam dan luar negara.
Kosmo Online | mStar Online | Utusan Malaysia Online | Berita Harian Online | myMetro
This work by Info Gallery is licensed under a Creative Commons Attribution 3.0 Unported License.