29 Januari 2012

26 motosikal, teksi hangus dibakar

ANGGOTA bomba memeriksa sebahagian daripada 26 buah motosikal yang dibakar di kawasan letak kereta Apartmen Desa Mentari, Petaling Jaya semalam

PETALING JAYA – Angkara dendam, sebanyak 26 motosikal dan sebuah teksi dibakar dalam satu kejadian di kawasan letak kereta Apartmen Desa Mentari di sini pada pukul 4 pagi semalam.

Seorang mangsa yang ditemui, K. Elumalai, 44, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan penduduk yang ternampak api di kawasan tempat letak motosikal.

Katanya, dia terus berlari ke arah tempat kejadian dan terkejut melihat dua motosikal miliknya dan isteri sedang terbakar.

“Seorang penduduk kemudiannya menghubungi bomba dan polis memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya.

Difahamkan, sebelum kebakaran itu, terdapat sebuah kenderaan yang dinaiki beberapa lelaki dilihat melontarkan sesuatu yang dipercayai botol berisi petrol ke kawasan itu.

Seorang lagi mangsa, M. Guru, 40, berkata, dia hanya mampu melihat teksi miliknya yang turut disambar api dalam kejadian tersebut kerana api merebak dengan cepat,

“Saya tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan ini, mungkin orang luar yang sakit hati dengan penduduk di sini.

“Kebakaran ini menyebabkan saya hilang mata pencarian kerana teksi saya musnah dalam kebakaran itu,” katanya yang mahu pihak berkuasa memantau kawasan tersebut kerana sering berlaku kejadian curi kereta, motosikal dan pergaduhan.

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Perbuatan khianat tidak menguntungkan sesiapa

'Kilang' pelacur 24 jam di Meru


KLANG - Sebuah bangunan kilang industri kecil dan sederhana (IKS) di sekitar Meru dipercayai menjadi tempat menyediakan perkhidmatan seks sejak tiga tahun lalu.

Dengan bayaran serendah RM50, perkhidmatan itu disediakan khusus untuk warga asing. Difahamkan, lelaki tempatan tidak dibenarkan memasuki premis itu kerana pengusaha khuatir rahsia mereka diketahui.

Bagaimanapun, kegiatan tersebut mula terbongkar selepas penduduk berhampiran mendapati premis itu semakin kerap dikunjungi warga asing akhir-akhir ini.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 40, berkata, apa yang dibimbangi ialah aktiviti tidak bermoral itu akan mempengaruhi generasi muda di kawasan sekitar.

"Kita tidak mahu kawasan ini dijadikan pusat pelacuran. Kegiatan tidak bermoral itu sekarang semakin mengundang ketidakselesaan penduduk," ujarnya.

Kata Ahmad, pelanggan tempat tersebut terdiri daripada warga Nepal, Bangladesh, Myanmar dan Vietnam.

"Saya difahamkan pengusaha premis terbabit menggunakan wanita warga Indonesia sebagai pelayan khidmat seks dan ia amat laris pada hujung minggu," katanya.

Jelasnya lagi, pusat tersebut beroperasi 24 jam sehari. Semua pelanggan perlu menggunakan pintu belakang bagi memasuki tempat itu.

"Sekali pandang bahagian hadapan bangunan tidak ubah seperti penempatan setinggan warga Bangladesh," beritahu beliau.

Ahmad berkata, beliau pernah cuba memasuki tempat tersebut namun telah dihalang pengusaha terbabit yang mengetahui beliau orang tempatan.

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Pelacuran semakin berleluasa,dibimbangi membawa keruntuhan akhlak masyarakat dinegara kita

Bayi tanpa kepala


AMPANG - Mayat bayi mengerikan tanpa kepala dan putus sebelah kakinya ditemui seorang lelaki ketika menjala ikan di sebatang sungai, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, mayat bayi itu ditemui kira-kira jam 1 petang berhampiran kawasan perumahan­ di Kuala Ampang.

“Bayi itu ditemui tersangkut pada celah-celah batu di tebing sungai berhampiran dengan kilang elektronik, ketika ditemui, mayat bayi tanpa pakaian itu dalam keadaan tertiarap dan telah hampir reput,” katanya.

Setakat ini, beliau berkata, jantina bayi itu masih belum dikenal pasti, pemeriksaan unit forensik polis mendapati, mangsa tidak berkepala dan kaki kanannya juga tiada.

“Mangsa dipercayai dibuang di lokasi lain dan dihanyutkan arus sungai sebelum dijumpai, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat,” katanya.

kredit : sinarharian.com.my

Info Gallery -Perbuatan tidak berperikemanusiaan,nyawa langsung tidak bernilai bagi mereka yang membuang bayi ini

‘Suara dari langit’ dijawab minggu depan


PETRA JAYA: Kejadian aneh ‘suara dari langit’ yang menggemparkan penduduk sekitar Kota Samarahan dekat sini pada 11 dan 12 Januari lalu, akan terjawab minggu depan apabila Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengumumkan hasil siasatan pakar mereka.

Timbalan Menteri, Sains dan Teknologi, Datuk Fadillah Yusof, berkata pihaknya yakin kejadian aneh itu mempunyai penjelasan dari sudut saintifik yang dapat diterima semua pihak, sekali gus menolak beberapa andaian tidak logik.
Katanya, rakaman dan temu bual dengan penduduk yang mendengar suara aneh itu dibuat pasukan penyiasat dari Kuala Lumpur dengan jawatankuasa kementeriannya sedang menilai perkara berkenaan.
“Keputusan rasmi mengenai kejadian berkenaan akan dibuat oleh pihak MOSTI minggu depan selepas semua siasatan termasuk mendengar kembali bunyi aneh itu oleh pakar, dilaksanakan.

“Laporan awal mendapati kemungkinan besar bunyi berkenaan berpunca daripada pendandang kilang sawit milik FELCRA di Samarahan dengan pengesahan lanjut akan dibuat selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi Parlimen Petra Jaya, di sini, semalam.

Baru-baru ini, penduduk di sekitar Kota Samarahan mendengar bunyi aneh antara jam 1 pagi hingga 5 pagi pada hari berkenaan dan ia mencetuskan pelbagai andaian penduduk di negeri ini dan tersebar dalam Youtube

kredit : bharian.com.my

Info Gallery - Jangan percaya perkara tahyul,kelak ditakuti membawa kepada kerosakan akidah

28 Januari 2012

Sapu bersih wang ATM


KUALA LUMPUR: Dengan kepakaran dimiliki, dua penjenayah menyapu bersih wang tunai berjumlah RM388,000 dalam mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Taman Connaught, Cheras, di sini, tanpa meninggalkan kesan rompakan.

Kedua-dua penjenayah licik yang memakai seragam pekerja syarikat kawalan keselamatan untuk mengelirukan orang ramai di stesen minyak itu dipercayai memiliki kemahiran tinggi yang membolehkan mereka memecahkan kod rahsia untuk menyelongkar mesin ATM berkenaan.

Kelicikan dan kepakaran mereka menyebabkan kehilangan wang tunai di mesin ATM itu hanya disedari jam 2.30 petang kelmarin dan pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati rompakan dipercayai dilakukan pada 4 Januari lalu.

Sumber polis berkata, kejadian disedari selepas petugas syarikat kawalan keselamatan memeriksa mesin ATM berkenaan sebelum memaklumkannya kepada pihak bank dan laporan kehilangan wang dibuat di Balai Polis Cheras.


“Petugas syarikat kawalan keselamatan berkenaan terkejut apabila mendapati semua wang di dalam mesin ATM itu hilang sedangkan tiada sedikitpun kesan pecah atau rosak. Mereka kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pihak bank.


“Selepas rakaman CCTV di tempat kejadian diperiksa, didapati pada jam 5.30 petang, 4 Januari lalu, dua lelaki memakai pakaian seragam seakan-akan pekerja syarikat kawalan keselamatan membuka mesin ATM itu dan melarikan wang,” katanya.


kredit : hmetro.com.my

Info Gallery -Bangga ada rakyat Malaysia yang berpengetahuan tinggi dalam bidang teknologi,namun ilmu yang ada hanya bernilai apabila digunakan dengan betul

Bawa bom balik rumah


ALOR GAJAH: Seorang lelaki yang menjala ikan di Jambatan Gangsa, Lebuhraya Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di sini, tidak menduga objek tersangkut pada jalanya ialah bom mortar, malam kelmarin.

Difahamkan bungkusan plastik hitam mengandungi bom mortar sebesar tangan orang dewasa dengan berat lebih sekilogram itu tersangkut pada jaring penjala berkenaan kira-kira jam 7 petang.


Shamsul Kass, 39, berkata, dia menjala di tebing Sungai Gangsa ditemani tiga rakan tidak menduga plastik sampah yang tersangkut pada jalanya dan agak berat, berisi sebutir bom.

“Kami teruja untuk mengetahui kandungan bungkusan plastik itu lalu membukanya dan terperanjat melihat objek berkilat yang selepas diamati ialah bom mortar.


“Kami membawa balik bom itu ke rumah seorang rakan di Gangsa dengan motosikal dan selepas berbincang, kami meletakkan bom itu di tempat asal sebelum membuat laporan di Balai Polis Durian Tunggal jam 11 malam,” katanya.


Menurut Shamsul, dia yang bekerja sendiri sering menjala ikan dan udang di sungai itu setiap hari dan kejadian itu pertama kali dialaminya.

“Saya bimbang jika bom berkenaan masih berfungsi meletup, apatah lagi dengan kedudukannya di bawah jambatan yang menjadi laluan utama pengguna lebuh raya di sini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan menerima laporan penemuan bom motar berkenaa.

“Sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.


“Bom mortar itu digunakan untuk latihan dan kami mengambil langkah keselamatan sebelum dimusnahkan,” katanya.

kredit : hmetro.com.my

Info Gallery -tidak pernah lihat bom depan mata,semuanya dalam televisyen sahaja

Kilang penapis udara terbakar, rugi RM1 juta

ANGGOTA bomba memadam kebakaran kilang membuat penapis udara di Seksyen 15, Shah Alam semalam.

SHAH ALAM - Sebuah kilang penapis udara, OYL Manufacturing Company Sdn. Bhd., kerugian lebih RM1 juta apabila hampir 80 peratus premis itu musnah dalam satu kebakaran di Jalan Pengapit, Seksyen 15 di sini semalam.

Pada kejadian pukul 1.20 petang itu, seramai 40 pekerja sedang bertugas manakala 20 lagi keluar menunaikan solat Jumaat.

Seorang pekerja, Armey Safuan, 32, berkata, ketika sibuk bekerja, dia terdengar jeritan pekerja lain mengatakan kilang sedang terbakar.

"Saya terdengar jeritan api beberapa kali dan apabila saya keluar, kilang sedang terbakar dan dipenuhi asap.

"Kami kemudian lari menyelamatkan diri dan berkumpul di pekarangan kilang," katanya

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Kecuaian dan kealpaan membawa padah,

Pelayan ditetak sampai mati

ANGGOTA polis menjalankan siasatan di sebuah restoran yang menyebabkan Ching Chon mati ditetak di Kepong, Kuala Lumpur semalam
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di sebuah restoran yang menyebabkan Ching Chon mati ditetak di Kepong, Kuala Lumpur semalam

KEPONG – Sekumpulan tujuh lelaki mabuk bertindak melampaui batas apabila bukan sahaja enggan menjelaskan bil minuman keras yang diminum malah, menetak sampai mati seorang pekerja sebuah restoran dan mencederakan pemiliknya dalam kejadian di Taman Daya di sini semalam.

Kejadian pukul 12.45 tengah malam itu berlaku apabila salah seorang suspek naik angin dengan tindakan Tan Ching Chon, 46, yang meminta mereka pulang dan membayar harga 13 gelas arak sebanyak RM136 dan dua pinggan sayur goreng hampir RM30.

Ching Chon mati di tempat kejadian selepas ditetak dengan pisau di tangan, kaki dan muka.

Pergaduhan itu turut mengakibatkan tauke yang merangkap chef restoran, Lim Kok Keng, 41, cedera di perut, muka dan kepala namun keadaannya dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Selayang.

kredit : kosmo.com.my

Info Gallery - Kes bunuh semakin menjadi-jadi,di mana-mana pun dirasakan tidak selamat

Menggigil cam mayat bapa


TELUK INTAN - “Badan saya menggigil apabila mendekati mayat yang dibungkus di tepi sungai dan hanya mampu berharap agar mayat itu bukan bapa saya. Namun semuanya itu berkecai apabila mendapati mayat itu memang bapa saya,” kata anak mangsa lemas, P Vijian.

Menurut Vijian, pada Rabu lalu, dia menerima panggilan berhubung kehilangan bapanya namun tidak mengambil serius kerana menganggap mendiang mungkin ke rumah ahli keluarga yang lain.

Namun, dia terkejut apabila diberitahu mayat bapanya ditemui terapung di Sungai Perak berdekatan sebuah kilang membuat simen.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mayat yang dijumpai itu adalah bapa saya dan saya terima walaupun berat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohammad Zaki Harun berkata, mangsa dikenali sebagai S Perumal, 58, ditemui terapung oleh seorang pemancing yang kebetulan memancing di kawasan berdekatan kira-kira jam 7.30 pagi semalam, sebelum menghubungi polis.

Katanya, mayat itu yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu, ditemui terapung di Sungai Perak di Batu 2 ½, Jalan Maharaja Lela berdekatan sebuah kilang membuat barang simen.

Menurutnya, sebelum ini mangsa dikatakan hilang dari rumahnya di Taman Desa Aman, pada pagi Rabu lalu sebelum kali terakhir dilihat oleh saksi mangsa berkeliaran di atas Jambatan Sultan Yusof, kira-kira 500 meter dari rumah, pada malam sebelum kejadian.

Sebaik menerima laporan mengenai kehilangan mangsa yang dikatakan tergelincir dan jatuh ke dalam sungai, sepasukan anggota polis dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat dikerah ke tempat kejadian untuk melakukan gerakan mencari dan menyelamat, bagaimanapun gerakan itu dihentikan kerana cuaca gelap.

Katanya, usaha mencari diteruskan kelmarin dan pagi semalam pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan satu mayat di lokasi berkenaan.

“Siasatan mendapati mayat yang ditemui itu adalah mayat lelaki yang dicari berdasarkan kepada pengecaman yang dibuat anak mangsa.

Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat dan mendapati mangsa mati akibat lemas dan tiada sebarang perbuatan khianat boleh dikaitkan,” katanya.

kredit : sinarharian.com.my

Info Gallery - Berhubung selalu dengan ibu bapa untuk mengetahui keadaan mereka
 

© 2010 - 2011 | Created by Info Gallery - Stories of The Worlds
Memaparkan pelbagai informasi terkini daripada sumber rencana terpilih dari dalam dan luar negara.
Kosmo Online | mStar Online | Utusan Malaysia Online | Berita Harian Online | myMetro
This work by Info Gallery is licensed under a Creative Commons Attribution 3.0 Unported License.